KULAI: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka memperkenalkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, minggu depan.
Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, calon tersebut akan diumumkan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu selepas pucuk pimpinan di peringkat Pusat memuktamadkan perkara itu.
“Setakat ini, kita tunggu Pusat memberi isyarat untuk PN Johor menyusun dan menyiapkan majlis pengumuman calon nanti.
“Daripada 15 nama calon yang diserahkan, pucuk pimpinan telah menyenarai pendek calon tersebut dan calon yang dipilih akan dimuktamadkan selepas peringkat Pusat membuat keputusan.
“Lokasi dan tarikh akan kita umumkan dalam masa terdekat, dijangkakan pengumuman akan diadakan di kawasan Parlimen Pulai dalam masa terdekat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Negeri Bersatu Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Naib Pengerusi PN Johor, Mohd. Solihan Badri.
Sebelum ini, Dr. Sahruddin dilaporkan telah menghantar 15 nama daripada Bersatu, Pas dan Gerakan ke pimpinan PN Pusat untuk dinilai sebagai calon-calon bagi kedua kerusi berkenaan.
Dr. Sahruddin berkata, mesyuarat hari ini untuk merangka gerak kerja bagi menghadapi PRK di kedua-dua kerusi tersebut pada 9 September ini.
Ditanya sama ada calon yang dipilih adalah daripada Bersatu, Dr. Sahruddin memberitahu, ia hanya akan diketahui selepas pengumuman dibuat Muhyiddin pada minggu depan.
“Kedua-dua calon berkenaan adalah anak tempatan dan merupakan golongan profesional, mereka juga cukup dikenali di kawasan masing-masing.
“Namun, kami masih menunggu isyarat lanjut daripada PN Pusat dan tidak boleh mendahului kepimpinan parti,” katanya sambil memaklumkan beliau dilantik sebagai Pengarah PRK PN Johor.
Beliau berkata, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan Pengerusi Gerakan Johor, Teo Kok Chee, masing-masing dilantik sebagai Timbalan Pengarah PRK PN Johor. – UTUSAN