Menantu Muhyiddin jamin pulang

Menantu Muhyiddin jamin pulang

MUHAMMAD Adlan Berhan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan akan kembali ke negara ini secepat mungkin bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing.

Peguam Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu yang mewakili Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan (gambar) ber­kata, anak guamnya bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Ra­­suah Malaysia (SPRM) selagi unsur ancaman dan pendakwaan terhadapnya di­ketepikan.

Baljit menafikan Muhammad Adlan, 48, melarikan diri daripada pihak berkuasa sebaliknya berkata, beliau meninggalkan negara ini secara sah dan tidak pernah ditahan SPRM atau dipanggil sebelum ini bagi membantu siasatan.

“Anak guam saya tidak bersalah dan tidak wajar dibicarakan melalui tanggapan umum oleh agensi penguat kuasa. Beliau sedia bekerjasama untuk membantu siasatan,’’ katanya dalam satu kenyataan melalui firma guaman Shukor Baljit & Partners semalam.

Beliau mengulas kenyataan SPRM Isnin lalu yang menyatakan Muhammad Adlan dan peguam Mansoor Saat, 69, sedang dikesan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam berkata, agensi itu akan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan menantu kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Tanpa mendedahkan kebe­ra­daan mereka, Azam berkata, pi­haknya akan me­mohon notis merah kepada Interpol supaya menyenaraikan kedua-dua individu terbabit jika masih gagal dikesan.

Laporan akhbar menyatakan, sema­kan rekod oleh SPRM juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan negara ini masing-ma­sing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu.

Baljit selanjutnya berkata, Muhammad Adlan telah dihubungi pegawai SPRM dan menjawab secara bertulis melalui surat bertarikh 3 Jun lalu de­ngan menyatakan beliau keluar negara atas urusan perniagaan dan akan kembali apabila urusannya selesai.

Ujar beliau, anak guam­nya telah memberikan tarikh kembali ke tanah air, namun terkesan dengan tindakan SPRM berhubung tindakan ‘memburu’ dan menuding jari terhadapnya sehingga me­rugikan ahli perniagaan itu.

“Sehingga kini Muhammad Adlan tidak menerima jawapan rasmi daripada SPRM,’’ menurut kenyataan itu.

Justeru, Baljit menafikan anak guamnya gagal dihu­bungi sebaliknya telah berkomunikasi dengan pegawai pe­nyiasat kes.

Baljit berkata, surat bertarikh 3 Jun itu juga menggariskan beberapa perkara di luar kebiasaan berhubung tindakan SPRM termasuk membekukan akaun syarikat dan akaun peribadi tanpa notis selain dakwaan diancam oleh agensi itu.

Katanya, anak guamnya digambarkan sebagai orang buruan melalui media, namanya diletakkan di bawah notis merah serta akan ditahan sekembalinya ke tanah air.

Beliau berkata, anak guamnya difahamkan bahawa larangan perjalanan keluar negara telah dikuatkuasakan terhadapnya oleh Jabatan Imigresen.

Katanya, anak guamnya menegaskan beliau menjadi sasaran secara tidak sah menyebabkannya terkesan dan mencemarkan reputasinya selain kewanga­nnya terjejas.

“Secara periba­di, dia mengalami penderitaan mental dan trauma serta ke­lu­arganya juga menderita,” katanya.

Menerusi kenyataan sama, Baljit berkata, anak guam juga bukan seorang ahli politik dan terkejut dengan percubaan untuk menggunakannya sebagai batu loncatan bertujuan mengenakan ahli politik.

Ujarnya, siaran akhbar mengenainya diterbitkan menjelang pilihan raya ne­geri menunjukkan terdapat unsur politik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN