SEREMBAN: Masalah kekurangan jumlah perjalanan bas ekspres yang membawa penumpang dari Seremban ke Kuala Lumpur pada setiap hari akan dicari jalan penyelesaian termasuk menambah lesen dan permit kepada pengendali yang berminat.
Menterinya yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, isu tersebut disifatkan kritikal dan ia amat menjejaskan orang ramai terutama mereka yang tinggal di Seremban dan menjadikan perkhidmatan itu untuk ke tempat kerja di ibu negara.
Jelas beliau, isu tersebut timbul ekoran terdapat hanya sebuah syarikat pengendali yang konsisten memberikan perkhidmatan bagi perjalanan itu ekoran ia tidak memberikan keuntungan dan kos operasi yang tinggi.
“Sebenarnya ada banyak pengendali cuma mereka tidak dapat beroperasi, atas kertas kita ada tujuh lesen pengendali bagi perkhidmatan Seremban ke Kuala Lumpur namun hakikatnya ada dua operator sahaja dan daripada jumlah itu kadangkala hanya satu sahaja menjalankan perkhidmatan itu.
“Itu merupakan isu yang paling besar untuk rakyat Seremban yang bekerja di Kuala Lumpur yang terpaksa beratur di Terminal 1 setiap hari kerana kekurangan perkhidmatan, itu masalah yang perlu diberikan perhatian.
“Kami telah mengadakan perbincangan termasuk dengan operator dan kami bersedia untuk menambah lesen dan permit kepada operator, ada operator yang sedang memohon lesen sementara dan ia akan diluluskan secepat mungkin untuk tambah perkhidmatan ini,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengumumkan inisiatif Tambang Percuma myBas Konsesi Bagi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Program SBST di Terminal 1, di sini hari ini.
Siew Fook dalam pada itu mengalu-alukan pihak operator yang dapat membawa perkhidmatan tersebut meskipun mengetahui masalah yang dihadapi mereka.
“Operator mengadu perkhidmatan ini tidak menguntungkan malah mengalami kerugian sebab kos operasi tinggi dan penumpang pula hanya ramai pada waktu pagi, tengah hari dan petang kurang sedikit jadi kos untuk kekal perkhidmatan ini agak tinggi.
“Kami sedang berbincang apa cara untuk pastikan mereka boleh terus beroperasi dengan satu pulangan yang munasabah kepada operator, kita kena faham bahawa kalau operasi itu sentiasa merugikan, tiada siapa mahu beroperasi, tiada siapa mahu keluarkan duit beroperasi dan rugi, itu sesuatu yang akan dilihat untuk bantu operator juga.
“Saya memang mahu beri kepastian kepada warga Seremban bahawa masalah itu sedang diperhatikan dan akan cuba cari jalan untuk tambah perjalanan perkhidmatan itu supaya warga Seremban yang bekerja di Kuala Lumpur tidak perlu beratur panjang setiap pagi,” katanya.
Utusan Malaysia pada pada bulan Mac lalu melaporkan kekecewaan penumpang bas ekspres laluan Seremban-Kuala Lumpur yang sering mengalami masalah kelewatan perkhidmatan itu pada setiap pagi.
Penumpang mendakwa, faktor hanya sebuah syarikat sahaja yang menjalankan perkhidmatan untuk laluan tersebut menyebabkan pihak pengurusan bersikap sambil lewa dan akhirnya menyusahkan penumpang.-UTUSAN.










