PENTAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram bukan hanya medan pertembungan antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan dengan blok pembangkang, sebaliknya ia dilihat lebih terarah kepada manifestasi kekuatan Pas dan parti serpihannya, Parti Amanah Negara (Amanah).
Pas yang kini bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menggalas tugas besar merampas kembali kerusi yang dahulunya dikenali sebagai Sungai Abong, pernah dimenangi mereka selama dua penggal pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dan PRU13.
Jika benar dakwaan kepemimpinan PN bahawa sokongan pengundi terutama orang Melayu kini berpaling kepada mereka, Simpang Jeram bukanlah jalan sukar bagi menempatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kedua Pas di DUN Johor selepas kerusi DUN Maharani.
KEBANJIRAN
Apa yang pasti, kekuatan Pas di Simpang Jeram diiktiraf lawan selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan BN dan Pakatan Harapan (PH) perlu mengelak ‘kebanjiran’ Pas masuk ke Johor.
Ketika berucap di hadapan jentera UMNO Bahagian Bakri, Presiden UMNO itu mengingatkan jentera Kerajaan Perpaduan bekerja keras memenangkan calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman bagi mengelakkan Pas mendapat kerusi kedua selepas DUN Maharani ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.
Maka, PRK Simpang Jeram ini boleh dirumuskan sebagai percaturan penting buat kepemimpinan Pas dan Amanah yang sebelum ini mempunyai ‘detik hitam’ dalam perjalanan politik silam.
Malah, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri ketika program pertamanya berkempen di DUN berkenaan malam Sabtu lalu secara terbuka, menyingkap kembali krisis dihadapi parti itu sehingga berakhirnya Pakatan Rakyat (PR) dan melahirkan Amanah, sebelum PRU14.
Abdul Hadi berkata, bekas kepemimpinan Pas yang meninggalkan perjuangan parti untuk bersama DAP dan PH berbuat demikian kerana berasa risau bakal kalah pilihan raya andai bersendirian.
Oleh itu, calon PN, Dr. Mohd. Mazri Yahya yang merupakan pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular dipertaruhkan untuk membebaskan Pas daripada perspektif ‘parti lebai’ bagi meraih sokongan pengundi. – UTUSAN










