PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2023 (1H 2023), peningkatan RM9.44 bilion berbanding RM23.75 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama 2022.
Jumlah itu selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, daripada jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion, RM4.79 bilion mewakili keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan. Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran matawang asing.
“Jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku kedua (S2 2023) ialah RM18.03 bilion, meningkat RM9.05 bilion daripada RM8.98 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.
“Pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi S2 2023 pada RM9.60 bilion. Sebagai perbandingan, kelas aset itu menjana pendapatan RM4.07 bilion pada suku yang sama pada 2022,” kata beliau dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, peningkatan dana pesaraan itu turut disumbangkan langkah proaktif dan ketepatan dalam merealisasikan keuntungan, disokong oleh peningkatan pasaran keuntungan sekuriti MTM.
SEPARUH
Amir Hamzah berkata, prestasi pasaran ekuiti global pada separuh tahun pertama 2023 adalah positif, diterajui oleh pasaran maju, khususnya di Amerika Syarikat (AS) yang terus menunjukkan daya tahan walaupun kadar faedah meningkat.
Menurut beliau, ketangkasan dan kebolehsuaian KWSP dalam strategi pelaburannya membuka ruang kepada pengurus pelaburan untuk memanfaatkan peningkatan pasaran, sekali gus menyumbang kepada pulangan lebih tinggi daripada ekuiti dalam tempoh tersebut.
“Ini berbeza dengan prestasi pasaran ekuiti yang dilihat pada separuh tahun pertama 2022, yang menyaksikan beberapa indeks mengalami kemerosotan yang ketara, dengan kebanyakan pasaran termasuk AS mencatatkan prestasi separuh pertama terburuk mereka dalam beberapa dekad.
“Bagi Malaysia, pertumbuhan KDNK sebanyak 5.6% pada suku tahun pertama 2023 telah melangkaui jangkaan, didorong khususnya oleh permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan dalam pasaran buruh.
“Pertumbuhan yang berdaya tahan telah meredakan keadaan kewangan yang ketat, seterusnya memberikan ruang kepada pasaran modal domestik,” kata beliau.
MODAL
Amir berkata, instrumen Pendapatan Tetap yang berfungsi sebagai pengekalan modal, terus menjadi tunjang kepada KWSP dan memberikan aliran pendapatan yang stabil kepada pendapatan keseluruhannya.
Kelas aset itu yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS) serta Pinjaman dan Bon, menyumbang 27 peratus atau RM4.83 bilion, kepada jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi S2 2023.
“Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan RM2.72 bilion, manakala pendapatan daripada Instrumen Pasaran Wang menjana RM0.88 bilion, sejajar dengan jangkaan kelas pulangan ini,” katanya.
Kata beliau, sehingga Jun 2023, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1,082.45 bilion di mana 38.6 peratus daripadanya dilaburkan dalam pelaburan luar negara.
“Peningkatan dalam pendedahan luar negara sebahagian besarnya disebabkan oleh pergerakan pasaran global dan pertukaran matawang asing yang lebih menggalakkan,” kat beliau.
Sementara itu, jumlah keahlian KWSP pada separuh pertama 2023 terus meningkat kepada 15.09 juta dengan 8.47 juta daripadanya adalah ahli aktif.
Kata Amir Hamzah, jumlah ahli aktif itu mewakili 50.62 peratus daripada 16.86 juta tenaga buruh di Malaysia.
“Pendaftaran majikan baharu juga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 43,084 dalam tempoh tersebut, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 598,871.
“Pertambahan ahli aktif dan majikan menjadikan jumlah caruman diterima meningkat sebanyak RM50.48 bilion pada 1H 2023, naik 16.8 peratus daripada RM43.23 bilion pada 1H 2022,” jelasnya. – UTUSAN










