KPDN rampas 9,000 liter minyak diesel bersubsidi diseleweng - Utusan Malaysia

KPDN rampas 9,000 liter minyak diesel bersubsidi diseleweng

ANGGOTA penguat kuasa KPDN Negeri Sembilan memeriksa tangki IBC berisi minyak diesel yang berada di dalam lori ketika serbuan Op Tiris di Taman Seremban Jaya, Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan berjaya membongkar aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan rampasan 9,000 liter minyak itu yang dianggarkan bernilai RM19,350 di Taman Seremban Jaya di sini semalam.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan menerusi Op Tiris itu dijalankan oleh 12 orang anggota pasukan penguat kuasa KPDN pada pukul 10 malam hasil risikan selama dua minggu.

“Serbuan turut mengambil kira maklumat daripada orang awam yang curiga dengan kegiatan lori-lori di kawasan berkenaan. 

“Pemeriksaan menyeluruh semasa serbuan mendapati, terdapat tangki-tangki Intermediate Bulk Container (IBC) yang berisi minyak diesel di dalam kesemua lori-lori terlibat dipercayai sedang menunggu giliran untuk aktiviti pemindahan minyak diesel ke sebuah lori tangki yang turut berada di lokasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad Zahir berkata, aktiviti pemindahan minyak diesel itu tidak dilakukan pada malam tersebut dipercayai kerana pihak sindiket telah menghidu kehadiran anggota serbuan di lokasi.

“Turut disita empat buah lori dan 19 unit tangki IBC yang menjadikan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM71,150.

“Empat kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN