Mentega Terbang: Keputusan absah Sek 298 Kanun Keseksaan tahun depan - Utusan Malaysia

Mentega Terbang: Keputusan absah Sek 298 Kanun Keseksaan tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mah­kamah Tinggi menetapkan 6 Februari depan untuk keputusan permohonan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang menentukan sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah pihak terlibat, di sini semalam.

Pada 14 Jun lalu, pe­ngarah filem itu, Mohd. Khairianwar Jailani, 32, dan penerbitnya, Tan Meng Kheng, 37, dibenarkan merujuk kepada Mahkamah Tinggi berhubung keabsahan seksyen tersebut yang didakwa menyekat hak kebebasan bersuara.

Mereka turut memohon Mahkamah Tinggi menentukan sama ada frasa melukakan perasaan aga­ma seseorang, iaitu berkaitan unsur dalam kesalahan seksyen­ berkenaan, melanggar hak bagi perbicaraan adil kerana tidak sah dan tidak jelas.

Sekiranya mahkamah berpihak kepada mereka, pertuduhan yang dihadapi pengarah dan penerbit itu boleh digugurkan.

Terdahulu, peguam N. Surendran yang mewakili Mohd. Khairianwar dan Meng Kheng menyatakan, Seksyen 298 adalah satu undang-undang lapuk dan bertentangan de­ngan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai kebebasan bersuara dan memberi pendapat.

Tambahnya, intipati­ pertuduhan yang me­nyatakan ‘melukakan pe­rasaan agama orang lain’ adalah terlalu kabur kerana bertentangan dengan Perkara 5 (kebebasan diri) dan Perkara 8 (kesamarataan) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob ketika berhujah menyatakan hanya kerana Seksyen 298 Kanun Keseksaan merupakan satu undang-undang sebelum Merdeka, ia tidak menjadikan seksyen itu terbatal.

Selain itu, Abdul Malik menyatakan, permohonan yang dikemukakan oleh pengarah dan penerbit Mentega Terbang itu juga tiada berasas kerana tiada dalam mana-mana bahagian seksyen berkenaan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN