KOTA BHARU: Kerajaan Perpaduan akan menyalurkan peruntukan berjumlah RM3.5 juta untuk diagihkan kepada petani menerusi Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dalam masa terdekat.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Muhammad Husin berkata, bantuan itu akan dinikmati oleh 7,242 pesawah dibawah selian agensi berkenaan di seluruh negeri.
Menurutnya, melalui SSHP itu pesawah akan menikmati kenaikan dari RM360 kepada RM500 bagi setiap tan hasil pengeluaran padi.
“Pengeluaran padi dibawah selian KADA adalah sebanyak 4.5 tan setiap satu hektar pada tahun lalu.
“Setiap pesawah berdaftar akan menerima bantuan itu secara terus yang dimasukan ke dalam akaun masing-masing. Besar harapan kita agar bantuan ini dapat meringkan beban pesawah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pra Sambutan Kemerdekaan di Perkarangan Ibu Pejabat KADA di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Muhammad memberitahu, benih padi jenis MR 297 menjadi pilihan utama pesawah di bawah selian agensi itu.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati sebanyak 50 peratus pesawah menggunakan benih MR 297.
“Bagaimanapun, terdapat lima lagi jenis benih padi yang turut digunakan pesawah antaranya MR 220 CL2 dan MR 303.
“Penggunaan ini benih padi itu mampu memberi hasil tanaman baik kepada pesawah,” ujarnya.-UTUSAN









