ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke pusingan suku akhir dengan bergaya selepas berkenduri gol 10-0 ke atas Kelantan FC pada aksi pusingan kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Keputusan tersebut menyaksikan Harimau Selatan mara ke pusingan seterusnya dengan agregat 15-1, sekali gus mencatat rekod jaringan gol terbesar dalam perlawanan musim ini.
Beraksi di laman sendiri, skuad kendalian Esteban Solari bermula garang dan hampir membuka jaringan pada minit kelima, namun percubaan Bergson Da Silva yang sudah menewaskan penjaga gol, Muhammad Johan Shah Zidane Tendot Johari Tendot dinafikan pemain pertahanan sebelum melepasi garisan gol.
Skuad Harimau Selatan itu berjaya membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi Bergson yang bijak melepasi kawalan pertahanan The Red Warriors sebelum melepaskan rembatan deras melepasi jangkauan Muhammad Johan Shah Zidane.
Empat minit berselang, pemain import baharu JDT dari Jepun, Takahiro Kunimoto tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pertamanya pada aksi malam ini.

Takahiro kemudiannya mempamerkan ketajaman sentuhannya apabila menjaringkan gol keduanya setelah bersahaja melepasi kawalan pertahanan pelawat sebelum menjaringkan gol ketiga perlawanan.
Sebelum tamat babak pertama, Bergson menambah jaringan peribadinya apabila meledak gol keempat JDT apabila menanduk masuk bola yang menerjah gawang skuad Gomo Kelate Gomo pada minit ke-43.
Bersambung babak kedua, JDT hampir menambah jaringan namun rembatan lencong Arif Aiman Hanapi pada minit ke-49 sedikit tersasar.
JDT terus ganas memburu gol dan hasilnya berjaya diterjemahkan apabila Juan Muniz meledak gol kelima menerusi rembatan dalam kotak penalti dengan memanfaatkan umpanan Arif Aiman pada minit ke-53.
Daryl Sham yang dibawa masuk pada babak kedua oleh Solari tidak menunggu lama untuk memahatkan namanya dalam senarai penjaring pada minit ke-59 setelah mudah menghukum kesilapan lawan di dalam kotak penalti.
Dalam tempoh kurang lima minit, Heberty Fernandes dan Arif Aiman masing-masing meledakkan satu gol pada minit ke-61 dan ke-63 bagi menambah derita buat pasukan kendalian Angel Alfredo Vera.

Langkah Harimau Selatan tidak terhenti di situ, malah terus buas melakukan serangan bagi mẹmbuatkan luka Kelantan yang tewas 0-8 kepada Terengganu FC pada aksi Liga Super sebelum ini terus berdarah dengan jaringan yang besar.
Pada minit ke-72, Bergson melengkapkan hatriknya pada itu selepas mudah meledakkan gol kesembilan bagi JDT melepasi jangkauan Muhammad Johan Shah Zidane.
Ketika perlawanan hampir ditamatkan, pemain gantian, Ahmad Aysar Hadi Mohd. Shapri menjaringkan gol ke-10 buat JDT, sekali gus mencatatkan sejarah jaringan terbesar dalam perlawanan musim ini. – UTUSAN