Jangan guna 3R sebagai senjata kempen saat akhir - Nie Ching - Utusan Malaysia

Jangan guna 3R sebagai senjata kempen saat akhir – Nie Ching

TEO NIE CHING (dua dari kanan) meninjau salah sebuah rumah yang terbakar di Taman Kulai, Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dinasihatkan supaya tidak menggunakan isu agama, raja dan kaum (3R) sebagai senjata berkempen pada saat-saat akhir.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berharap semua pemimpin serta calon parti politik lebih bertanggungjawab dan tidak menjadikan isu sensitif seperti itu sebagai bahan untuk menarik undi ketika kempen berbaki dua hari sahaja lagi.

“Saya ingin menyeru kepada semua calon untuk menggunakan masa keemasan ini bagi menjelaskan apa yang mahu ditawarkan kepada rakyat. Jangan sesekali menyentuh isu 3R ini sebagai senjata untuk berkempen,” katanya selepas menyampaikan sumbangan wang tunai kepada enam keluarga yang terkesan akibat kebakaran di Taman Kulai, di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai memberikan bantuan wang tunai sebanyak RM46,000 kepada enam pemilik rumah yang terlibat dalam kebakaran di Taman Kulai, Selasa lalu.

Beliau berharap bantuan itu dapat meringankan beban mereka, selain berjanji akan membantu mangsa mendapatkan bantuan bagi membaik pulih rumah mereka daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau turut memuji tindakan penyedia platform perkhidmatan media sosial yang memberikan kerjasama baik dengan bertindak pantas memadamkan kandungan yang menyentuh isu 3R sepanjang tempoh dua minggu kempen PRN berlangsung.

Menurutnya, pemantauan sentiasa dilakukan pihak kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil secepat mungkin.

“Kita memang ada terima aduan (kandungan berunsur 3R) daripada SKMM ketika PRN ini dan pihak suruhanjaya itu telah meminta bantuan daripada penyedia platform seperti TikTok dan Meta untuk memadamkan kandungan seumpama itu dengan segera. Berdasarkan laporan SKMM, ada juga syarikat penyedia platform yang tidak begitu responsif dan kita akan berbincang lebih lanjut dengan mereka untuk mengukuhkan lagi kerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, Nie Ching menegaskan, keputusan Dr P. Ramasamy yang mẹmbuat pẹngumuman keluar parti berkuat kuasa serta-merta hari ini tidak akan menjejas kempen parti dan peluang Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan Pulau Pinang.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP yakin pengundi Pulau Pinang lebih bijak untuk menilai tindakan mengejut Timbalan Ketua Menteri  II Pulau Pinang itu.

“Parti tidak ada hak untuk menghalang tindakan Ramasamy atau sesiapa sahaja keluar parti dan parti mengambil pendirian sentiasa bersangka baik terhadap keputusan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai itu. 

“Sebenarnya, bukan di Pulau Pinang sahaja, tetapi di Selangor juga terdapat beberapa bekas Exco dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang tidak dicalonkan semula dalam PRN kali ini. Namun, kita dapat lihat reaksi mereka cukup berbeza, ada yang masih kempen untuk parti walaupun digugurkan dan ada juga yang masih beri kekuatan dan kepercayaan serta bantu calon berkempen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya