Insiden The 1975 tak jejas imej sebagai destinasi pelancongan - Utusan Malaysia

Insiden The 1975 tak jejas imej sebagai destinasi pelancongan

KHAIRUL FIRDAUS AKBAR KHAN (tengah) bergambar bersama-sama para pemenang 'Legoland School Challenge' di Legoland Resort, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Insiden tidak senonoh yang dilakukan kumpulan pop rock, The 1975 semasa Festival Good Vibes yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini tidak menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan sebaliknya berkata, Malaysia tetap sebagai negara yang sederhana dan penuh adat ketimuran.

“Hal ini kerana masyarakat luar tahu Malaysia dan rakyatnya cukup bertimbang rasa dan penuh kasih sayang. Bukan sahaja nama Malaysia tidak tercalar, malah kita kekal yakin mampu mencapai sasaran kehadiran pelancong asing yang telah ditetapkan tahun ini iaitu seramai 16 juta,” katanya kepada selepas menyampaikan hadiah ‘Legoland School Challenge’ di Legoland Malaysia Resort, di sini hari ini.

Justeru, Khairul Firdaus berharap semua pihak akan terus bekerjasama bagi membantu mencapai sasaran yang ditetapkan kementerian yang diterajui oleh Datuk Seri Tiong King Sing.

Baru-baru ini persembahan kumpulan The 1975 itu dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya, Matty Healy yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia.

Dalam konsert berkenaan, vokalis berkenaan turut memperlekehkan undang-undang negara berkaitan isu lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) serta bercium dengan seorang anggota kumpulannya yang juga seorang lelaki.

Mengenai program tersebut, Khairul Firdaus memberitahu, pihaknya berhasrat untuk memperluaskan lagi ‘Legoland School Challenge’ ke tahap lebih tinggi pada masa depan.

“Program ini terbukti berjaya menarik minat murid dan pelajar untuk mengeluarkan idea kreatif mereka dalam menghasilkan produk yang menepati tema diberikan.

“Kerajaan akan bekerjasama dengan agensi negeri dan pengusaha taman tema ini dalam memastikan penganjuran lebih besar dengan melibatkan lebih ramai murid dan pelajar termasuk dari luar negara,” katanya sambil memberitahu program itu disertai kira-kira 4,000 murid dan pelajar dari lebih 370 sekolah dalam dan luar negara termasuk dari Singapura, Indonesia dan Filipina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya