JOHOR BAHRU: Insiden kebocoran bahan kimia jenis ‘styrene monomer’ yang dikesan berlaku di sebuah kilang di Jalan Pekeliling, Pasir Gudang, dekat sini menimbulkan kebimbangan penduduk setempat yang masih terkesan dengan insiden Sungai Kim Kim, empat tahun lalu.
Insiden yang berlaku petang semalam itu tular dalam kalangan komuniti setempat setelah ada pihaknya yang mendakwa terhidu bau bahan kimia tersebut.
Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Sarhan Akmal Mohamad berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat pencemaran bau di kawasan tersebut pada pukul 5.21 petang dan seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dan lapan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Larkin dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran bahan kimia pada injap saluran bahan kimia yang berada di kilang itu.
“Bantuan pasukan Hazmat diperlukan untuk menutup saluran tersebut. Operasi masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sarhan Akmal memberitahu, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
JBPM Johor meminta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian itu kerana boleh menggugat ketenteraman awam serta menimbulkan kerisauan penduduk setempat. – UTUSAN