Gaji progresif perlu utamakan rakyat tempatan

Gaji progresif perlu utamakan rakyat tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan dasar gaji progresif perlu memastikan para pekerja tempatan bergaji rendah mendapat kadar gaji minimum dan kenaikan gaji sewajarnya melebihi gaji yang diperoleh pekerja asing.

Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Norsyahrin Hamidon berkata, dasar gaji progresif seperti Model Gaji Progresif (PWM) yang dilaksanakan di Singapura wajar dijadikan contoh kerana terbukti berjaya.

Di republik itu, sistem gaji itu menetapkan gaji minimum bagi setiap pekerjaan bergaji rendah dalam sektor tertentu, jumlah kenaikan gaji dan jadual yang diperlukan untuk lima tahun yang mesti dipatuhi oleh majikan.

SINGAPURA

Katanya, dasar gaji progresif di Singapura terbukti meningkatkan gaji dan memperbaiki taraf hidup pekerja bergaji rendah di beberapa sektor di Singapura.

Katanya, dasar itu merupakan penambahbaikan kepada dasar gaji minimum yang telah dilaksanakan sebelumnya, namun tidak berupaya menaikkan gaji pekerja.

Justeru, kata Norsyahrin, Malaysia perlu menggunakan pendekatan lebih luas dalam jangka panjang, melangkaui gaji minimum dan juga melangkaui beberapa langkah penambahbaikan.

Ini termasuk mengurangkan bilangan pekerja asing, menggalakkan penyatuan pekerja, dan menggalakkan perundingan kolektif serta menetapkan semula dasar perindustrian dan pelaburan negara.

“Dasar perindustrian beberapa dekad lalu adalah sebab terbesar mengapa gaji kita rendah. Sebaliknya, gaji yang lebih tinggi boleh menjadi faktor yang paling pen­ting dalam membentuk industri dan perdagangan kita,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan seharusnya menetapkan matlamat yang jelas untuk memastikan bahawa majoriti pekerja akhirnya akan mendapat gaji yang melebihi gaji kehidupan wajar.

“Sebagai contoh, kerajaan menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 me­netapkan matlamat bahawa menjelang 2025 hanya 40 peratus isi rumah berada di bawah ambang gaji kehidupan wajar, dan menjelang 2030 hanya 10 peratus. Ini akan memberikan matlamat menyeluruh yang jelas tentang dasar gaji progresif,” katanya.

Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman tidak menyifatkan penyediaan dana untuk dasar gaji progresif sebagai satu beban kewangan kerajaan, sebaliknya ia merupakan pelaburan jangka panjang dalam meningkatkan taraf hidup pekerja serta pendapatan majikan.

“Dasar ini diharap membantu syarikat terutama majikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk meningkatkan kemahiran pekerja,peningkatan prestasi dan produktiviti dan seterusnya pekerja akan diberikan kenaikan gaji yang sebahagian besarnya akan diberikan subsidi oleh kerajaan.

“Jurang perbezaan gaji peringkat terendah akan ditingkatkan secara progresif agar jurang gaji terendah dengan gaji penengah dapat dikurangkan dan seterus­nya dapat memberikan laluan kerjaya yang lebih cerah,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN