PETALING JAYA: Sime Darby Berhad dan UMW Holdings Berhad bergabung menerusi perjanjian bernilai hampir RM4 bilion menjadikannya antara penggabungan korporat terbesar dalam sejarah bagi tempoh terdekat.
Menerusi perjanjian itu, Sime Darby membeli 61.2 peratus kepentingan dalam UMW daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada nilai RM3.57 bilion atau RM5 sesaham, menjadikannya antara perjanjian pembelian terbesar.
Langkah strategik tersebut memberi ruang kepada Sime Darby untuk menjadi peserta automotif terkemuka negara dengan penambahan dua jenama berprestasi tinggi ke dalam portfolionya iaitu Toyota dan Perodua.
Setelah perjanjian ini menjadi tidak bersyarat, Sime Darby akan membuat tawaran umum untuk 38.8 peratus saham yang tidak dimilikinya dengan tujuan untuk mengeluarkan UMW dari Bursa Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, satu daripada sebab pengambilalihan tersebut adalah untuk mengembangkan perniagaan Sime Darby di negara ini kepada 30 peratus setelah dimuktamadkan yang dijangka pada suku keempat tahun ini.
Ujarnya, perniagaan kumpulan kini tertumpu di luar negara iaitu di Australia 40 peratus, China (35 peratus), Malaysia (15 peratus) dan lain-lain (10 peratus).
“Selepas transaksi selesai, perniagaan kami akan menjadi masing-masing 30 peratus untuk Malaysia, Australia dan China.
“Selain itu, perniagaan kami juga lebih kepada kenderaan mewah. Kini, kami dapat memperluaskan perniagaan daripada pasaran mewah yang kecil kepada pasaran massa yang lebih besar,” katanya dalam sidang akhbar keputusan tahun kewangan 2023 di Menara Sime Darby, di sini, semalam.
Beliau berkata, penggabungan itu juga selari dengan peranannya sebagai peruncit dalam sektor automotif.
“Perodua dan Toyota mempunyai perniagaan yang besar dalam pengeluaran dan pengedaran. Jadi pengambilalihan ini dapat meliputi semua spektrum dari pengeluaran, pengedaran, runcit dan selepas jualan,” katanya.
Sementara itu, PNB berkata, penggabungan dua pemimpin dalam industri automotif ini bertujuan merangsang agenda elektrifikasi, yang dijangka memacu pertumbuhan pelaburan, meningkatkan kecekapan, dan mencipta nilai untuk pemegang unit kami.
“Langkah strategik ini juga adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 oleh kerajaan, yang akan menyokong pertumbuhan selanjutnya sektor automotif terutamanya dalam meletakkan kedudukan negara sebagai hab automotif bagi rantau ini,” katanya.
Saham Sime Darby dan UMW digantung berkuat kuasa mulai 2.30 petang semalam sementara menunggu pengumuman.
Oleh itu, dagangan dalam waran berstruktur berkaitan Sime Darby dan UMW juga akan digantung pada masa yang sama, menurut pemfailan syarikat kepada Bursa.
Pengambilalihan ini akan meningkatkan pendapatan bersih setiap saham Sime Darby dan akan meningkatkan pulangan pemegang saham kumpulan.
Sime Darby berharap, pengambilalihan saham PNB ini akan selesai dalam tempoh tiga bulan dari tarikh SPA, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan kelulusan pemegang saham serta syarat-syarat penutupan lazim. – UTUSAN










