Fokus menangkan PN, parti mana mahu bantu dialukan - Dominic

Fokus menangkan PN, parti mana mahu bantu dialu-alukan – Dominic

DOMINIC LAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas tiba-tiba ‘panas’ susulan pencalonan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi tradisi milik Pas.

Malah, kontroversi hubungan antara Pas dan Gerakan bertambah hangat apabila Dominic didakwa ‘dihalau’ daripada majlis ceramah dianjur Pas kawasan Seberang Prai Utara (SPU).

Kepada wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI, Pengerusi PN Pulau Pinang berkenaan menjelaskan isu-isu yang melandanya serta fokus beliau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

UTUSAN: Bagaimana perjalanan kempen Datuk setakat ini?

DOMINIC: Sambutan sangat positif bagi PN. Saya dapati pengundi di sini sedia memberi sokongan penuh kepada calon PN. Kita akan teruskan berusaha kerana tinggal beberapa hari lagi untuk mengundi. Sabtu dan Ahad terakhir ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk perhebatkan kempen dan dekati pengundi dan pastikan mereka memilih PN untuk mewakili mereka nanti.

UTUSAN: Adakah kempen Datuk di DUN Bayan Lepas mendapat bantuan Pas dan parti komponen PN lain?

DOMINIC: Komponen parti boleh mainkan peranan, mereka ada tanggungjawab masing-masing. Setiap komponen parti ada mainkan peranan, ada yang bantu naikkan bendera, ada yang membantu calon.

Setiap parti komponen lakukan apa yang perlu dan pastikan PN menang. Saya juga tidak pilih parti mana-mana untuk membantu saya. Sesiapa yang mahu membantu tawarkan bantuan, cadangan dan pandangan saya alu-alukan.

UTUSAN: Bagaimana hubungan dengan pemimpin Pas di Bayan Lepas yang dikatakan ‘dingin’ susulan pencalonan Datuk?

DOMINIC: Pada masa ini, masing-masing memberikan fokus sepenuhnya kepada tugas masing-masing. Agenda utama saya ialah fokus untuk memenangkan PN. Di peringkat parti bukan isu ini sahaja berbangkit, isu utama ialah bagaimana mahu memenangkan PN.

UTUSAN: Apa isu atau masalah utama di DUN Bayan Lepas yang dibangkitkan penduduk setempat?

DOMINIC: Di DUN Bayan Lepas penduduk setempat mengadu mengenai kurangnya kemudahan asas, bank pun tiada, stesen minyak pun kurang di sesetengah tempat. Fokus saya ialah untuk membantu penduduk mendapatkan kemudahan asas seperti ini termasuk klinik kesihatan kerana di sini fasilitinya kurang baik.

Selain itu, jika mandat diberikan memang kita nak bantu penduduk dapatkan kemudahan hospital juga di sini, kita mempunyai ‘network’ kerana PN pernah menjadi Kerajaan Pusat dan saya yakin kemudahan ini dapat disediakan kepada penduduk setempat.

UTUSAN: Adakah Datuk akan kekal dengan strategi kempen secara bersemuka atau ada pendekatan lain?

DOMINIC: Kita akan terus memujuk mereka untuk mengundi PN. Setiap parti mempunyai manifesto masing-masing tapi bagaimana cara untuk mereka memujuk pengundi memberikan undi kepada calon PN, itu adalah penting. Ini yang akan saya lakukan iaitu teruskan memujuk pengundi dan yakinkan mereka untuk mengundi saya dan calon PN lain.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×