PETALING JAYA: Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr. Muhammad Faiz Na’aman tidak menolak jika ada parti politik khususnya Pakatan Harapan (PH) menawarkan menyertai gabungan itu.
Muhammad Faiz berkata, beliau bersifat terbuka dan menghormati dasar perjuangan PH.
“Tengoklah macam mana, cuma, saya menghargai jika ada pihak serius dan rela menerima saya. Saya tidaklah ada impian yang tinggi lagi dalam politik.
“Saya lebih sesuai berperanan di belakang tabir selepas bertungkus-lumus dalam Bersatu selama tujuh tahun. Jika ada parti politik menawarkan saya dalam masa terdekat atau pada bila-bila masa, saya terbuka dan tidak juga menolak.
“Dalam konteks PH, saya hormati prinsip perjuangan mereka selain Bersatu pernah berada di dalamnya suatu ketika dahulu. Ketika itu, saya tidak kekok berceramah dan berkempen bersama mereka.
“PH menghargai bakat-bakat kepimpinan seseorang untuk diketengahkan dalam agenda perjuangan mereka. Inilah kekurangan dalam Bersatu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ditanya apakah reaksi Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas peletakan jawatan itu, kata Muhammad Faiz, beliau diminta bersabar dan beristighfar.
“Saya sudah bersabar tujuh tahun, tetapi, saya lihat ketidakadilan dan kepincangan berlaku dalam parti sehingga sekarang tidak selesai,” katanya.
Ditanya adakah beliau bercadang untuk kembali berkhidmat dalam bidang perubatan, beliau berkata, tiga tahun berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan sudah memadai untuknya bergelar sebagai doktor perubatan.
Kata Faiz, beliau juga mahu menumpukan kepada bidang perniagaan dan tidak menganggap bidang perubatan yang dipelajarinya sebagai sia-sia.
“Saya lebih suka untuk bebas berkaitan perniagaan, itu jiwa sebenar saya. Ke arah itu.
“Belajar bidang perubatan ini saya anggap lebih kepada zaman saya muda dahulu. Ketika itu saya tidak melihat dunia dari sudut yang luas, hanya sekadar menambah ilmu dan akhirnya saya sedar ada minat yang lain,” katanya.
Semalam, Muhammad Faiz mengumumkan meletak jawatan sebagai AMPT Bersatu selepas mengambil kira prinsipnya yang tidak boleh lagi mewakili kepemimpinan parti kerana tidak sependapat, idea serta visi mengenai pengurusan dan hala tuju parti.
Beliau telah menghantar surat peletakan jawatan itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Muhammad Faiz tidak berpuas hati dengan cara pemilihan calon wakil rakyat parti itu yang bertanding dalam PRN yang disifatkan sebagai ‘lemah dan bermuslihat’.
Katanya, ini kerana Bersatu memilih beberapa calon telah tewas dalam PRU15 untuk bertanding sekali lagi, antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (bertanding di DUN Hulu Kelang) dan Datuk Seri Rina Harun (DUN Batu Tiga). – UTUSAN










