PETALING JAYA: Protes besar-besaran orang Melayu terhadap UMNO adalah antara faktor yang membolehkan Perikatan Nasional (PN) menawan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bulan depan.
Satu peluang lagi ialah jika peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, di atas kertas, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak berdepan masalah untuk mengekalkan kedua-dua kerusi itu.
IMPAK
Katanya, berdasarkan rekod bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, ia sedikit sebanyak akan memberi impak dalam pola pengundi pada PRK depan dan PH sudah pun mendahului di lokaliti tersebut.
“Bagaimanapun, PN masih berpeluang untuk memberi saingan di kedua-dua kerusi tersebut,” katanya.
Beliau berpandangan, PN lebih berpeluang untuk menang Simpang Jeram memandangkan pengundi Melayu di kawasan tersebut agak tinggi iaitu sekitar 21,000 orang berbanding keseluruhan pengundi sekitar 40,000 orang.
“Berdasarkan angka itu, PN nampak lebih menumpukan untuk menawan kerusi DUN Simpang Jeram kerana pengundi Melayunya lebih tinggi manakala Parlimen Pulai pula terletak di kawasan bandar,” katanya.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram akan diadakan pada 9 September ini, menampilkan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon PH, PN dan Bebas.
POLA
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Ilham Center, Hisommudin Bakar berkata, apa yang ingin diperhatikan adalah apakah pola pengundian pengundi Melayu akan berterusan menyokong PN seperti dalam pilihan raya negeri yang lepas.
“Andai kata pola sokongan itu berlaku, tidak mengejutkan jika Simpang Jeram itu jatuh kepada PN tetapi di Pulai, kita hendak lihat sejauh mana pola pengundian Melayu itu boleh mengurangkan majoriti lalu,” katanya.
Katanya, secara spesifiknya ialah benarkah sokongan anak muda Melayu berusia antara 18 hingga 25 tahun yang menjadi segmen penting dalam sumbangan majoriti besar kepada PN sebelum ini.
“Keduanya, kita ingin melihat sejauh mana perpindahan undi BN kerana BN tidak bertanding (PRK ini), adakah undinya akan diterjemahkan kepada PH.
“Ini dua aspek penting yang perlu dilihat dalam konteks pilihan raya di Johor,” katanya. – UTUSAN










