Dijel 702 tahun, 234 sebatan rogol anak

Dijel 702 tahun, 234 sebatan rogol anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang lelaki dihukum penjara 702 tahun dan 234 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku salah merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua anaknya sejak enam tahun la­lu sehingga seorang daripada mangsa hamil.

Jurubahasa mahkamah me­ngambil masa hampir sejam untuk membaca kesemua pertuduhan serta fakta kes dengan tertuduh hanya tunduk sambil menggelengkan kepala.

“Saya terima hukuman ini atas perbuatan dilakukan,” kata tertuduh sebelum hukuman terhadapnya dibacakan oleh Hakim Abu Bakar Manat.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 10 Julai lalu, manakala sebatan secara berasingan.

Itu bermakna tertuduh ha­nya perlu menjalani hukuman penjara 42 tahun, namun hukuman sebatan kekal 234 kali. Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah hanya membenarkan maksimum hukuman sebatan sebanyak 24 kali.

Tertuduh yang juga pekerja pembersihan didakwa me­lakukan perbuatan terkutuk itu terhadap dua anaknya yang kini masing-masing berusia 12 dan 15 tahun dengan seorang daripadanya hamil lima ming­gu.

Tertuduh yang berusia 53 tahun menghadapi 30 pertuduhan dengan 19 daripadanya membabitkan ke­sa­lahan rogol manakala 11 lagi kes cabul ke atas kedua-dua anaknya itu.

Abu Bakar semasa membacakan keputusannya berkata, tidak ada faktor yang boleh dipertimbangkan untuk hukuman terhadap tertuduh kerana mangsa adalah anak kan­dungnya selain seorang daripadanya sudah hamil.

“Mangsa ketika itu adalah kanak-kanak dengan kesalahan dilakukan kamu sangat berat. Justeru, saya berharap dengan hukuman ini, kamu bertaubat dan belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan.

“Mengambil kira pengakuan bersalah kamu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan merogol, 10 tahun penjara serta dua sebatan bagi kesalahan amang seksual fizikal serta tambahan hukuman bagi Seksyen 16 (1) Kanun Keseksaan, iaitu dua tahun penjara dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mela­kukan perbuatan terkutuk itu sejak 2017 ketika salah seorang mangsa berusia 10 tahun dengan kejadian terakhir berlaku pada 4 Julai lalu di dua lokasi berasingan di Jeram dan Bakri, di sini.

Tertuduh didakwa di ba­wah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan serta bagi Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Mengikut fakta kes, pegawai perubatan dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar membuat laporan polis selepas mendapati salah seorang mangsa hamil ketika mendapatkan rawatan akibat sakit dada.

Pendakwaan dilakukan Tim­­balan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN