Desak Zahid letak jawatan Presiden UMNO  hanya keruhkan prestasi UMNO - Utusan Malaysia

Desak Zahid letak jawatan Presiden UMNO  hanya keruhkan prestasi UMNO

Mohamed Khaled Nordin memotong buah Sun Melon yang ditanam Pusat Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Majlis Perasmian Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di UPM di Serdang, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan desakan agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan Presiden UMNO bagaikan jalan pintas yang mengeruhkan lagi prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Beliau berkata, proses pascanilai perlu dilakukan bagi mengenalpasti punca sebenar kekalahan majoriti kerusi yang ditandingi UMNO. 

“Saya anggap itu mungkin jalan pintas atau jalan mudah untuk memberi alasan atas kekalahan. Seelok-eloknya kita kaji dan buat post-mortem untuk kita tengok apa punca-puncanya, di mana kelemahan dan sebagainya.

“Saya percaya, apabila marah, emosi, akan keluar macam-macam kenyataan. Jadi, saya tidak mahu tergolong macam itu.

“Biar kita reda, kita lakukan post-mortem, kita cari kelemahan-kelemahan kita,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.

Terdahulu Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi merasmikan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mengulas lanjut, kata Khaled,  semua pihak tidak boleh menolak kemungkinan terdapat banyak  faktor lain yang menyumbang kepada kekalahan parti pada PRN lalu. 

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk menyatakan punca sebenar.

BANYAK

“Ya, ada banyak (faktor). Antaranya adalah, kita kena tahu apakah isu-isu yang dibawa dalam PRN ini. Kita juga tidak nafikan bahawa mungkin suasana daripada Pilihan Raya Umum lalu masih lagi ada, dan sebagainya.

“Kita juga tahu, mungkin rakyat  belum merasai sepenuhnya kesan-kesan daripada usaha-usaha kerajaan dalam membangunkan negara.

“Jadi, semua ini. Akhirnya, ini yang kita dapati. Dan mungkin bagi banyak pengundi dan penyokong UMNO, ini pertama kali mereka bekerjasama dalam satu pasukan yang dulunya mereka lawan sama sendiri,” katanya.

Pada PRN Sabtu lalu, UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya  memenangi 19 kerusi.

Pencapaian terbaik  di Negeri Sembilan dengan kemenangan di 14 daripada 17 kerusi DUN yang ditandingi.

Prestasi di Pulau Pinang dan Selangor tidak  memberangsangkan apabila hanya menang  masing-masing dua kerusi di setiap negeri.

Di Kelantan, parti itu hilang enam kerusi disandang dan kini hanya menguasai satu DUN, iaitu Galas, manakala di Kedah dan Terengganu, gagal meraih sebarang kerusi.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid meletak jawatan serta-merta, susulan penolakan pengundi Melayu dalam PRN.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Tan Sri Idris Jusoh juga mahu Ahmad Zahid bertanggungjawab dan meletakkan jawatan berikutan prestasi buruk  parti itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN