KANGAR: Kerajaan negeri dicadangkan melaksanakan pertukaran dalam kalangan penjawat negeri ini daripada agensi dan jabatan lain setiap lima tahun bagi membantu mereka mengembangkan potensi dan mengelak daripada terus selesa serta berakar umbi di situ.
Mohd Ridzuan Hashim (PN- Guar Sanji) berkata, langkah tersebut bagi memastikan kualiti penjawat awam di negeri dapat dikekalkan.
Katanya, pertukaran penjawat awam daripada jabatan ke jabatan lain dalam tempoh tertentu itu juga boleh memberikan peluang kepada mereka berkongsi pengalaman dan sebagainya.
“Kita takut kalau terlalu lama (di sesuatu jabatan atau agensi itu), mereka tidak boleh kembang potensi dan negatifnya lagi, apabila sudah terlalu lama, orang nak tegur pun tidak boleh dah dan berakar umbi di situ,” katanya ketika mengemukan soalan tambahan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Menjawab cadangan tersebut, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pertukaran penjawat awam merupakan langkah paling akhir jika hendak dilakukan sebaliknya kerajaan negeri lebih menekankan kepada aspek memberi pendidikan dan kaedah lain.
Katanya, sekiranya pertukaran penjawat awam tersebut dilakukan ia juga memberi kesan terpaksa belajar semula dan sebagainya.
Ujarnya, adalah lebih baik sekiranya program atau kursus-kursus secara berkala dilaksanakan kepada para penjawat awam negeri selain bertukar-tukar pandangan sesama agensi luar melalui kursus tersebut.
“Kita juga kena tengok daripada segi kebajikan penjawat awam ini, anak sekolah, keluarga di sini. Hendak tukar memang senang namun bagaimana kesan kepada mereka.
“Saya juga (ketika menjadi guru) pernah ditukar beberapa kali. Kita lihat tidak perlu tukar sebaliknya ubah dengan pendidikan. Pertukaran ini adalah langkah paling akhir,” katanya.
Sementara itu, Abu Bakar Hamzah (PN-Kuala Perlis) yang turut mengemukakan soalan tambahan sama berkata, pertukaran melibatkan penjawat awam ke jabatan-jabatan lain dilihat perlu khususnya melibatkan pegawai yang menguruskan urusan tender ini.
“Ada berlaku apabila pegawai yang menjaga urusan tender atau sebut harga ini telah berakar umbi dan terlalu selesa sehingga ada yang ada pasukan sendiri untuk urusan berkenaan.
“Banyak rungutan dalam isu berkenaan yang perlu diberi perhatian. Bukan tukar keluar dari negeri ini sebaliknya daripada jabatan ke jabatan lain di negeri ini,” katanya.-UTUSAN