BN perlu kerja keras yakinkan akar umbi tentang kerjasama dengan PH - Utusan Malaysia

BN perlu kerja keras yakinkan akar umbi tentang kerjasama dengan PH

BEBERAPA anak Orang Asli gembira dapat bersalaman dengan Ahmad Zahid Hamidi pada program Belia Desa Madani@KKDW di B5 Street Market, Tampoi, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras untuk meyakinkan pengundi dan akar umbi bahawa kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) demi kebaikan pelbagai kaum.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana kerjasama BN-PH belum mencapai usia setahun  dan amat menghantui pemikiran para pengundi.

Beliau berkata, perkara itu antara intipati yang perlu diberikan tumpuan apabila turun ke 191 cawangan UMNO bagi menemui semua kepimpinan di peringkat akar umbi.

“Walaupun kerajaan perpaduan ini tengah berjalan selama sembilan bulan tapi ia masih dibalingkan rasa kekhuatiran mengenai kerjasama kedua-dua gabungan ini. Dan ini bukan perkara baharu buat BN, kita pernah bekerjasama dengan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada suatu ketika dahulu yang merupakan pembangkang menguasai kerajaan Pulau Pinang ketika itu.

“Penolakan ahli UMNO dan orang Melayu pada keseluruhannya ketika itu amat terkesan tapi proses pencerahan dilakukan apabila kerajaan BN telah memulakan tugasnya pada 1974,” katanya selepas merasmikan program Belia Desa Madani @ KKDW di B5 Street Market, Tampoi, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima laporan daripada penerangan dan ‘war room’ gabungan itu selepas keputusan tidak menyebelahi BN.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, BN yang bekerjasama dengan Parti Gerakan pada ketika lama-kelamaannya diterima dengan baik.

“Ini tidak mustahil untuk dilakukan oleh kami (PH-BN) biarpun serangannya amat luar biasa dengan pelbagai fitnah dan juga isu yang dibangkitkan.

“Apa yang penting dalam negara kita ini adalah kebersamaan dan kesefahaman di antara pelbagai kaum, budaya dan agama mesti ditunjukkan supaya tidak timbul dan prasangka kaum. Ini penting kerana kita ingin membentuk sebuah negara Malaysia Madani dengan kepelbagaian kaum tanpa kita meninggalkan keindukan bangsa negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN