Agrobank perluas urus niaga tanpa tunai di Ulu Tembeling

Agrobank perluas urus niaga tanpa tunai di Ulu Tembeling

LEONG YU MAN (depan, tengah) dan Zahid Ahmad Zawawi (dua dari kanan) bersama kakitangan Agrobank serta Bank Negara Malaysia selepas pelancaran Program Kampung Cashless Mukim Ulu Tembeling di Kampung Bantal, Jerantut, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kira-kira 5,000 penduduk termasuk peniaga di lima buah kampung mukim Ulu Tembeling ‘menapak’ ke arah era digital dalam aspek urusan niaga tanpa tunai (cashless) apabila Agrobank melancarkan Program Kampung Cashless di Kampung Bantal dekat sini.

Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi berkata, matlamat utama program itu adalah untuk memberi pendedahan sambil meningkatkan pemahaman kepada para peniaga terutama dalam sektor peruncitan serta penduduk kampung berkaitan operasi perniagaan berkonsepkan digital iaitu urus niaga tanpa tunai.

“Kemudahan digital ini termasuklah kemudahan aplikasi DuitNow menggunakan kod QR.

PEDALAMAN

“Program ini merupakan sebahagian daripada sinergi Agrobank bersama Bank Negara Malaysia Wilayah Timur dan pihak Tourism Pahang dalam usaha meningkatkan lagi urus niaga tanpa tunai melalui penggunanan kod QR terutama di kawasan pedalaman dan tumpuan pelancong seperti di Ulu Tembeling, Jerantut,” katanya selepas pelancaran Program Kampung Cashless mukim Ulu Tembeling di Kampung Bantal, dekat sini, semalam.

Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man.

TETAMU jemputan turut cuba mengimbas kod QR tanpa tunai semasa pelancaran program cashless di Kampung Bantal, semalam.

Menurut Zahid, inisiatif tersebut bakal memberi kemudahan kepada semua penduduk di Kampung Bantal, Kampung Mat Daling, Kampung Kuala Sat dan Kampung Pagi juga sebahagian penduduk Orang Asli di Kampung Cangkuk dan Kampung Aur Empat.

“Peranan Agrobank adalah sebagai pemudah cara kepada proses pembukaan akaun, pendaftaran kad debit serta perbankan internet.

“Selama tiga hari berkampung di sini, program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat terutama peniaga kecil di kampung yang terlibat berikutan ramai yang ingin turut serta dan tidak mahu ketinggalan dengan trend terkini yang menggunakan kod QR dalam urusan transaksi harian,” katanya.

SELAMAT

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, inisiatif berkenaan mendedahkan kepada peniaga dan penduduk kampung dalam melakukan transaksi pembayaran berkonsepkan digital, sekaligus memupuk aktiviti pembayaran yang lebih mudah dan selamat.

“Inisiatif cashless ini bakal memberikan kelebihan kepada peniaga untuk pengurusan kewangan yang lebih efisien, peluang perkembangan perniagaan, mempelbagaikan pilihan pembayaran serta pengurusan inventori yang lebih berkesan,” katanya.

ZAHID AHMAD ZAWAWI (kiri) menyampaikan replika cek RM3,000 sumbangan zakat Agrobank untuk pelajar miskin kepada wakil Sekolah Kebangsaan Mat Daling selepas pelancaran Program Kampung Cashless di Kampung Bantal, Jerantut, semalam

Dalam pada itu, Leong Yu Man berkata, kerajaan negeri memuji usaha bersungguh-sungguh Agrobank dan Bank Negara Malaysia yang sentiasa memberi sokongan positif terhadap hasrat untuk memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam mendapat akses perbankan mudah dan selamat.

“Saya yakin dengan pelancaran program ini secara langsung membantu industri di Taman Negara dengan penyediaan mod pembayaran lebih mudah, cepat dan selamat melalui penggunaan DuitNow khususnya manfaat serta kemudahan terutamanya kepada pelancong luar yang datang ke Taman Negara dan perkampungan sekitar Ulu Tembeling,” katanya.

Yu Man menjelaskan, statistik kedatangan pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan pada 2022 telah menunjukkan peningkatan kepada 68,840 orang berbanding tahun sebelumnya, iaitu seramai 12,261 orang berikutan ancaman pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun, untuk tempoh bulan Januari hingga Julai tahun ini, angka kedatangan pelancong telah meningkat sebanyak 84 peratus dan trend ini amat memberangsangkan,” katanya.

PERUBAHAN

Selanjutnya, jelas Yu Man inisiatif tanpa tunai amat bertepatan dengan pembangunan era digital yang sudahpun mendominasi semua bidang dan bakal menjana perubahan kehidupan di Taman Negara apabila kebanyakan pengusaha bot penambang, peniaga, pemilik pusat inap dan pemandu pelancong telah mula mengguna pakai pembayaran secara digital tersebut.

“Senario ini sudah tentu dapat memastikan pengurusan kewangan yang lebih selamat, mudah dan efisien serta memberikan satu gambaran bahawa Taman Negara ini telah menuju ke arah penggunaan transaksi tanpa tunai dan harapan saya keadaan yang mula berlaku hari ini bagi penduduk Ulu Tembeling,” katanya.

Ketua Kampung Bantal, Hamdan Ali, berkata, inisiatif Agrobank itu telah mengubah kehidupan penduduk kampung itu apabila melalui era digital dalam aspek urus niaga tanpa tunai yang lebih mudah dan cepat.

“Setelah diberikan penjelasan oleh pegawai Agrobank dan Bank Negara, keseluruhan penduduk di sini sudah memahami dan akan mengikuti program ini dalam urusan perniagaan khususnya berbelanja di kedai makan, kedai runcit dan tambang pengangkutan,” katanya.

Hamdan berkata, penduduk di situ menerima dengan baik program pendigitalan kewangan itu yang akan melancarkan lagi urusan melibatkan pelancong luar dan pelawat domestik yang berkunjung ke kampung itu.

Seorang peniaga kedai makan, Rosnani Mat Tahar berkata, mulai sekarang, kedai makanannya sudah beroperasi tanpa tunai apabila dilengkapi dengan menggunakan kod QR bagi urusan pembayaran.

“Urusan ini lebih mudah dan cepat dan saya cuma mengira harga makanan dan bayaran dijelaskan menerusi kod QR khususnya manfaat bagi pengunjung luar yang datang ke sini saban hari,” katanya.

Ujarnya, walaupun pada peringkat awal kebanyakan peniaga masih belum memahami, tetapi selepas menerima penerangan daripada kaki tangan Agrobank dan Bank Negara semuanya selesai (difahami) dalam masa yang singkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya