KOTA KINABALU: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal merasai pengalaman memandu di Sabah dalam Jelajah Kembara Borneo pada September ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Seri Paduka akan mengadakan jelajah itu bermula 3 September ini selama beberapa hari di sepanjang laluan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dari Tawau ke Kuching, Sarawak.
Beliau berkata, jalan yang akan dilalui oleh Seri Paduka adalah laluan biasa.
“Kita difahamkan itulah tujuan utamanya, Agong tahu projek ini belum siap jadi, (jelajah itu) untuk lihat di sepanjang jalan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dan Sarawak.
“Di Sarawak boleh dikatakan siap 97 peratus cuma di Sabah bermula agak lewat pada 2016, Sarawak bermula 2015. Jadi, banyak lagi isu yang memberi kesan kepada kelewatan pelaksanaan pakej-pakej di Sabah,” katanya selepas lawatan tapak Lebuhraya Pan Borneo pakej kerja empat di Papar, semalam.
Menurut beliau, pembinaan pakej empat ini tidak sempat disiapkan sempena lawatan Agong kerana projek ini hanya akan siap pada Ogos 2024.
Alexander berkata, banyak tinjauan dilakukan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan apabila Seri Paduka melalui jalan tersebut.
“Saya difahamkan kerja-kerja yang perlu dibuat sedang dilakukan dan kos perbelanjaan itu akan dibantu oleh kementeriannya,” katanya.
Mengenai perkembangan LPB, Alexander berkata, secara keseluruhan sebanyak 35 pakej akan dilaksanakan di Sabah dan 15 pakej sedang berjalan, ada yang telah siap dan ada yang dalam pelaksanaan.
Daripada 35 pakej itu, 19 pakej belum dilantik kontraktor dan beliau telah arahkan agar lantikan syarikat kontraktor dibuat pada penghujung tahun.
Beliau tidak menolak kemungkinan kelewatan pelaksanaan projek LPB di Sabah susulan kekurangan bahan mentah seperti bitumen yang agak terhad. – UTUSAN










