80 asnaf sertai Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 4.0

80 asnaf sertai Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 4.0

SYED IBRAHIM Syed Ahmad (tujuh dari kanan) bersama sebahagian asnaf yang terpilih dalam Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 4.0 di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Seramai 80 asnaf di negeri ini terpilih bagi menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah dalam Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 4.0.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kesemua peserta ditaja oleh Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) dan juga kerajaan negeri.

“Ini julung kali Andalusia memilih negeri Pahang, saya ucap tahniah dan terima kasih kepada Andalusia dan kerajaan negeri sememangnya mengalu-alukan mana-mana pihak seperti Andalusia sanggup tampil ke hadapan memberikan simpati kepada asnaf.

“Pemilihan asnaf dilakukan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) yang memilih golongan asnaf yang layak dan saya lihat mereka berseri-seri apabila dipilih menjadi tetamu Allah SWT dan mereka mengucapkan terima kasih kepada Andalusia dan kerajaan negeri,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 4.0 di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Syed Ibrahim mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah; Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin dan Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris.

Menurut Syed Ibrahim, melalui program itu, Andalusia memberikan tajaan tiket dan pakej penginapan manakala urusan selebihnya ditaja oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, Ida Riswana berkata, penganjuran Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 4.0 merupakan lanjutan daripada program sama yang dimulakan pada 2016.

Katanya, pada tahun ini buat pertama kalinya Andalusia bekerjasama dengan kerajaan Pahang sepenuhnya dalam melaksanakan Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 4.0.

“Tujuan program ini adalah untuk membantu golongan asnaf yang ingin menunaikan umrah sekali seumur hidup, dan dalam masa yang sama mereka juga dapat menjejakkan kaki ke Baitullah dan menziarahi Rasullullah yang merupakan impian bagi setiap umat islam,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN