BACHOK: Kira-kira 2,000 penuntut dan kakitangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ‘bermandi’ peluh menghasilkan Jalur Gemilang sepanjang 660 kaki sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Razli Che Razak berkata, panjang Jalur Gemilang itu membawa kepada simbolik ulang tahun kemerdekaan negara ke-66 yang bakal disambut pada 31 Ogos nanti.
Menurutnya, proses menyiapkan Jalur Gemilang itu mengambil masa selama dua minggu sebelum dipertontonkan kepada umum.
“Kita hasilkan Jalur Gemilang ini secara gotong-royong bermula daripada kerja-kerja melukis di atas kain putih sehinggalah menjahitnya menjadi bendera.
“Tahun lalu, kita (UMK) menyambut Hari Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang tertinggi menggunakan belon. Untuk tahun ini, UMK lukis Jalur Gemilang terpanjang di Kelantan pula,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat UMK di UMK di sini hari ini.

Razli memberitahu, sepanjang Ogos pelbagai pengisian dalam menyemarakan sambutan kemerdekaan dijalankan termasuk menjalankan Konvoi Merdeka ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Kuantan serta gotong-royong mengacau bubur asyura patriotik.
Katanya, sepanjang sambutan bulan kemerdekaan UMK mengekalkan tema tradisional dengan memaparkan kreativiti kreatif untuk menyemarakan lagi semangat patriotisme dalam kalangan warga kampus dan komuniti setempat.
“Untuk sambutan hari ini, UMK mengadakan persembahan pantomim perjuangan Tok Janggut, formasi kibaran Jalur Gemilang menggunakan paramotor, pancaragam patriotik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pertandingan sukan rakyat tradisional Madani,” ujarnya.-UTUSAN