Irwan Serigar, Arul Kanda gagal batal saman AS$6.59 bilion

1MDB: Irwan Serigar, Arul Kanda gagal batal saman AS$6.59 bilion

MOHD. IRWAN SERIGAR ABDULLAH (kiri) dan ARUL KANDA KANDASAMY.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy gagal memba­talkan saman difailkan syarikat itu menuntut bayaran AS$6.59 bilion.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan untuk menolak permohonan tersebut atas alasan saman tersebut tidak diputuskan menggunakan pendekatan mudah.

“Berdasarkan analisis terhadap hujah dan isu yang ditimbulkan oleh pihak-pihak, adalah jelas isu yang dikemukakan termasuk dakwaan konspirasi dan penyelewengan tidak boleh diputuskan dan diselesaikan berdasarkan bukti melalui afidavit.

“Bagi mencapai satu keputusan, mahkamah perlu mende­ngar keterangan saksi-saksi da­ripada semua pihak.

Tambah Raja Ahmad Mohzanuddin Shah, melalui perbicaraan kesemua pihak mempunyai peluang sama rata sehingga mahkamah membuat keputusan berdasarkan kete­rangan saksi dan penelitian dokumen.

“Pada penghujungnya, kea­dilan akan menjadi milik pihak yang berhak cuma kita perlu mengambil masa yang panjang untuk mencapai keadilan tersebut,” kata hakim itu.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan untuk me­nge­kalkan status quo pihak-pihak dan kes akan diteruskan dengan perbicaraan.

Mahkamah turut meme­rintahkan Mohd. Irwan Serigar dan Arul Kanda masing-masing membayar kos RM10,000.

Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 14 September ini.

Pada 18 Februari 2022, Mohd. Irwan Serigar memfailkan permohonan untuk membatalkan saman 1MDB atas alasan antaranya saman itu adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bi­lion dan AS$3.5 bilion.

Sementara itu, Arul Kanda memfailkan permohonan sama pada 2 Jun 2022 atas alasan beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kerugian ditanggung 1MDB hasil penyelewengan dilakukan orang lain.

1MDB memfailkan saman terhadap Mohd. Irwan Serigar dan Arul Kanda pada Mei 2021 berhubung dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan syarikat pelaburan strategik itu mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

Menurut 1MDB, Mohd. Irwan Serigar juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian itu tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan me­ngalami kerugian.

Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran terbabit dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd. Irwan Serigar berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN