PETALING JAYA: Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini, kira-kira sebanyak 1.9 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan ini akan menyebabkan berlakunya peningkatan trafik.
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, pengguna lebuh raya dijangka berhadapan tempoh perjalanan yang lebih panjang berikutan peningkatan kenderaan tersebut.
“Orang ramai khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman atau menuju ke lokasi mengundi masing-masing dinasihatkan membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih baik untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota dalam tempoh berkenaan.
“Pengguna lebuh raya juga perlu menjangka berdepan tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa.
“PLUS juga membuat persediaan ini merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, PRN bakal melibatkan enam buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Sementara itu, Mohd Yusuf berkata, PLUS menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan Lorong lebih raya bermula 11 sehingga 13 Ogos ini.
Jelasnya, kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal dikecualikan.
“PLUS juga memastikan semua kemudahan awam seperti tandas, surau serta stesen minyak di R&R serta hentian sebelah beroperasi 24 jam sehari untuk menampung kehadiran pengunjung.
“Pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk berhenti rehat setiap dua jam pemanduan dan menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman yang disediakan oleh rakan niaga kami di R&R sebelum menyambung semula perjalanan,” katanya.
Tambahnya, maklumat trafik terkini di lebuh raya boleh didapatkan melalui aplikasi PLUS, Twitter@PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih dan talian PLUSLine di 1800-88-0000.
“Malah, melalui stesen-stesen radio tempatan. Pengguna lebuh raya juga disaran menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan mereka,” jelasnya.-UTUSAN










