PETALING JAYA: Padah tidak serik melakukan jenayah, seorang bekas banduan yang baru dibebaskan ditahan semula beberapa jam selepas disyaki mencuri kereta bersama seorang rakan di sebuah kawasan perumahan di Petaling Utama, di sini, semalam.
Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita tempatan pada 1.51 petang.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melakukan serbuan di dua lokasi berbeza di sekitar Lembah Klang pada 6.30 petang.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan suspek pertama berusia 41 tahun di sekitar Taman Sri Sentosa.
“Suspek kedua berusia 42 tahun pula ditahan di sebuah stor besi buruk di Kampung Pasir Baru, Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek pertama adalah penganggur manakala suspek kedua baru selesai menjalani hukuman penjara di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (menyebabkan kecederaan) 30 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, semakan mendapati suspek pertama mempunyai 15 rekod jenayah dan dua kesalahan narkotik manakala rakannya 19 rekod jenayah serta 10 penyalahgunaan dadah.
“Kedua-dua suspek direman tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan jenayah boleh menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 0379662222,” katanya.-UTUSAN