KOTA BHARU: Kelantan mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumumkan hari ini apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sebanyak 2.93 peratus sekali gus mengatasi pencapaian peringkat nasional iaitu 2.82 peratus.
Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran,Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mohd Hassany Hashim berkata, lebih membanggakan peratus lulus penuh calon Sekolah Kerajaan pada tahun 2022 lalu itu sebanyak 9.67 peratus atau 3,345 calon sekali gus mengatasi pencapaian peringkat nasional sebanyak 0.73 peratus iaitu 98.94 peratus atau 41,163 calon.
“Manakala calon yang mendapat kelulusan empat dan lima prinsipal tahun 2022 ialah 83.46 peratus atau 2.801 calon berbanding pencapaian peringkat nasional iaitu 75.09 peratus atau 31,239 calon.
“Ini menunjukkan pencapaian peringkat negeri Kelantan mengatasi peringkat nasional sebanyak 8.37 peratus,”katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2022 di Sekolah Kebangsaan Padang Garong 1 di sini hari ini.
Mohd. Hassany memberitahu, sebanyak 51 daripada 60 buah sekolah di negeri ini berjaya mencatatkan kelulusan 100 peratus berbanding 45 buah sekolah pada tahun sebelumnya.
Katanya, sebanyak sembilan buah sekolah lagi mencatatkan pencapaian 96 peratus ke atas dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas telah dinobatkan sebagai sekolah terbaik.
“Seramai 84 calon telah mencatat keputusan PNGK 4.0 berbanding seramai 57 calon pada tahun 2021 dengan peningkatan sebanyak 27 calon.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 32 calon memperolehi semua A bagi lima mata pelajaran yang diduduki dengan PNGK 4.0 ,” ujarnya.
Mohd. Hassany berkata, pihaknya turut berbangga apabila seramai lima calon di negeri ini menerima Anugerah Pelajar Terbaik di peringkat nasional.
“Secara keseluruhannya, keputusan STPM 2021 peringkat negeri Kelantan adalah amat membanggakan dan cemerlang, saya mewakili warga pendidik seluruh negeri ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua calon.
“Semua calon boleh mengambil slip keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing selepas pukul 11.30 pagi ini dan secara dalam talian melalui pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK serta sistem pesanan ringkas (sms) melalui talian 15888 [STPM<jarak> no kad pengenalan <jarak> angka giliran dan hantar ke 15888” katanya.-UTUSAN