Hanya RM60 rasai pengalaman bermalam di Muzium Kapal Selam

Hanya RM60 rasai pengalaman bermalam di Muzium Kapal Selam

NURMAN Mohd. Baroldin (tengah) memberi penerangan kepada Lim Ban Hong sewaktu melakukan lawatan ke Muzium Kapal Selam di Klebang, Melaka, semalam – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Muzium Kapal Selam di Klebang tidak pernah menawarkan pakej bermalam di dalam kapal selam SMD Quessant Agosta 70 dengan harga RM150 semalam seperti yang tular di media sosial.

Pegawai Kurator Kompleks Muzium Samudera, Nurman Mohd. Baroldin berkata, harga pakej yang ditawarkan kepada orang ramai untuk bermalam di katil krew dan pegawai pemerintah dalam kapal selam berkenaan adalah pada harga RM60 semalam termasuk makan dan minum serta aktiviti.

“Sejak pakej bermalam dalam kapal selam SMD Quessant Agosta 70 diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu, ia kurang mendapat tempahan daripada pelancong mungkin disebabkan harga RM150 semalam yang tular di media sosial.

“Kami tidak pernah tawarkan pakej RM150 semalam dan itu adalah tidak benar. Harga yang kami tawarkan sebenar adalah RM60 semalam dan dengan penjelasan ini saya harap orang ramai khususnya pelajar boleh buat tempahan bermalam di sini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong di sini semalam.

Menurutnya, sebanyak 63 katil dan untuk minimum 30 hingga 60 peserta ditawarkan dalam pakej berkenaan.

Nurman berkata, pihaknya juga dalam proses mendapatkan khidmat pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpengalaman berkhidmat di dalam kapal selam untuk bertindak sebagai pemandu pelancong bagi menerangkan mengenai kapal berkenaan.

“Sebelum ini orang ramai tidak diberi taklimat mengenai fungsi kapal selam dan sekadar membaca pada maklumat yang disediakan di sekitar kawasan kapal berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya juga cuba mendapatkan pesawat MiG-29 buatan Rusia milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk ditempatkan di Muzium Kapal Selam.
Katanya, ia bagi menambah tarikan dengan dua pesawat sedia ada buatan Amerika Syarikat (AS) iaitu F-5E dan Skyhawk.

Dalam pada itu, katanya, muzium tersebut telah merekodkan kehadiran seramai 102,983 pengunjung tahun lalu dan sehingga Mei tahun ini telah mencatatkan 31,590 pengunjung.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×