Kelulut sayap putih dijumpai di Hulu Terengganu

Kelulut sayap putih dijumpai di Hulu Terengganu

SYAMSUL Bahri Abd. Razak menunjukkan penemuan sarang kelulut spesies sayap putih yang semasa Ekspedisi Kayak Jejak Kelulut Sungai Berang, di Hulu Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Spesies kelulut yang sukar ditemukan iaitu homotrigona anamitica atau kelulut sayap putih dikesan menerusi Ekspedisi Kayak Jejak Kelulut Sungai Berang sejauh kira-kira 8.5 kilometer, di sini, baru-baru ini.

Ketua Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof.Dr. Shamsul Bahri Abd Razak berkata, penemuan spesies berkenaan adalah kali pertama di Terengganu berdasarkan penga­lamannya.

“Kelulut sayap putih ini antara spesies yang jarang dan sukar ditemukan. Setakat ini, melalui pelbagai ekspedisi yang telah saya jalankan, baru kali ketiga ia dijumpai di Semenanjung Malaysia.

“Spesies ini cuma pernah dijumpai di Merbok, Kedah pada 2015 dan di Kuantan, Pahang kira-kira tujuh tahun lalu. Kampung Menerong, Ajil, Hulu Terengganu menjadi lokasi pe­nemuan terbaharu.

“Penemuan ini secara tidak langsung satu keunikan atau daya tarikan pelancongan di sini khususnya pagi peminat-peminat kelulut. Tidak mustahil, ada lagi spesies sukar ditemukan terdapat di kawasan ini,” kata­nya ketika ditemui di Kampung Menerong.

Kata beliau, homotrigona anamitica pertama kali dijumpai di Malaysia pada 1909 dan antara kelebihannya dapat bertahan tenggelam dalam air dianggarkan antara tempoh dua hingga tiga minggu kerana corong keluar masuk ke sarang mampu tertutup daripada dimasuki cecair.

Katanya, kelulut sayap putih adalah dari keluarga kelulut jenis damar dan agak sukar di­ternak di kawasan kurang sumber damar iaitu dikeluarkan oleh pokok-pokok hutan seper­ti meranti, pokok kayu kapur, merbau dan jenis kayu keras lain,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×