SPRM nafi tidak keluarkan notis kepada Datuk Justin untuk tampil

SPRM nafi tidak keluarkan notis kepada Justin untuk tampil bantu siasatan

JUSTIN LIM HWA TAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelbagai usaha dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengesan Ketua Pegawai Eksekutif Sersol Bhd, Datuk Wira Justin Lim Hwa Tat supaya beliau hadir membantu siasatan berhubung kes yang sedang disiasat agensi ini.

Malah, SPRM dalam satu kenyataan menafikan bahawa pihaknya tidak ada mengeluarkan sebarang notis kepada Justin sebagaimana dakwaannya baru-baru ini.

“SPRM pergi ke dua buah kediamannya di Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu untuk menyerahkan notis berkenaan, namun, didapati salah sebuah premis tersebut dijual manakala sebuah lagi tidak dihuni olehnya. 

“Pada tarikh sama, SPRM juga pergi ke pejabatnya di ibu negara dan Johor, namun, Justin tiada di lokasi tersebut,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, hasil semakan SPRM dengan Jabatan Imigresen Malaysia, didapati Justin meninggalkan negara ini pada Februari lalu dan tiada rekod masuk kembali ke negara ini. 

“Sehubungan itu, SPRM mengeluarkan kenyataan media pada 12 Julai lalu yang lengkap dengan nombor telefon serta emel pegawai penyiasat bagi mengesan Justin dan kenyataan itu merupakan notis yang rasmi dan sah.

“SPRM bersedia untuk menerima sebarang tindakan undang-undang daripada Justin dalam hal berkenaan, namun, menegaskan beliau perlu terlebih dahulu tampil memberi kerjasama dengan suruhanjaya ini berkaitan siasatan kes berkenaan,” jelasnya.

Terdahulu, ahli perniagaan itu yang sedang dikesan SPRM mendakwa dirinya tidak pernah menerima notis untuk hadir membantu siasatan.

Justin berkata, beliau masih belum menerima notis daripada SPRM yang memerlukannya hadir untuk direkod keterangan mengikut Seksyen 30 Akta SPRM 2009.

Malah, beliau mendakwa, tiada percubaan oleh SPRM untuk memberikan notis yang dinyatakan itu di tempat kerja atau kediamannya.

Beliau juga mendakwa tidak pernah didekati oleh mana-mana pegawai SPRM yang memintanya membantu berhubung siasatan yang disebut dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, Justin juga menegaskan, beliau sudah meninggalkan perniagaan itu sejak awal Februari lalu namun kekal berhasrat untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.

SPRM dalam satu kenyataan pada 12 Julai lalu berkata, SPRM Putrajaya sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes SPRM.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN