Sejuta penerima PeKa B40 jalani saringan NCD

Sejuta penerima PeKa B40 jalani saringan NCD

parlimen
DR. ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejumlah sejuta penerima manfaat Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang layak direkodkan menjalani saringan penyakit tidak berjangkit (NCD), setakat 6 Julai lepas.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah itu selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang menggalakkan saringan kesihatan dalam kalangan penduduk.

“Sejak dilancarkan pada April 2019, PeKa B40 memberi manfaat kepada sejuta orang di bawah Kumpulan B40 melalui saringan kesihatan percuma untuk pengesanan awal NCD dan faktor risikonya seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dalam darah, obesiti, kemurungan, kerisauan dan kanser. 

“Sekitar 400,000 (40 peratus) daripada mereka mengetahui berkenaan penyakit senyap ini dan dirujuk untuk rawatan selanjutnya bagi mencegah mereka daripada mengalami komplikasi serius,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Zaliha, skim PeKa B40 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia itu menawarkan empat manfaat kepada penerima manfaat yang layak.

Katanya, manfaat pertama merangkumi saringan kesihatan percuma di klinik swasta yg berdaftar untuk program PeKa B40 dan di klinik kesihatan kementerian manakala manfaat kedua membabitkan bantuan kesihatan yang merupakan 10 kategori peralatan perubatan percuma sehingga RM 20,000 seperti stent jantung, kanta intra-okular dan implan sendi tiruan, sepanjang hayat mereka.

Manfaat ketiga pula, beliau berkata, ia melibatkan insentif penyelesaian rawatan kanser, insentif tunai RM 1,000 dan manfaat keempat pula merangkumi insentif pengangkutan iaitu kos pengangkutan bernilai RM500 bagi semenanjung Malaysia atau RM 1,000 bagi Sabah dan Sarawak semasa menerima rawatan perubatan untuk Manfaat kedua dan ketiga.

“Sehingga hari ini, lebih daripada 50,000 penerima manfaat PeKa B40 menerima 60,000 Bantuan Kesihatan (Peralatan Kesihatan percuma) bernilai RM 110,000,000.00 sejak Skim ini diperkenalkan. 

“Sejumlah 7,000 penerima manfaat PeKa B40 juga menerima Insentif Penyelesaian Rawatan Kanser dan 12,000 menerima Insentif Pengangkutan,” katanya.

Zaliha menambah, kementeriannya menzahirkan ucapan terima kasih kepada 3,100 klinik perubatan am swasta (GP), 990 klinik kesihatan, 170 makmal swasta, dan 140 hospital kementeriannya atas sokongan berterusan mereka terhadap program itu dalam memberi manfaat khususnya kepada kumpulan B40.

“Kementerian juga ingin menggalakkan 5.7 juta penerima yang layak dan belum mendapatkan manfaat PeKa B40 untuk hadir ke salah satu daripada mana-mana 4,000 Klinik GP atau Klinik Kesihatan terdekat di seluruh negara.

“(Langkah itu) bagi menjalani saringan, memahami status kesihatan dan mendapatkan nasihat profesional daripada doktor tentang cara menjaga dan meningkatkan gaya hidup sihat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN