Salahuddin cakna masalah rakyat, senang didekati

Salahuddin cakna masalah rakyat, senang didekati

SALAHUDDIn Ayub akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang cakna masalah rakyat terutama dalam soal kos sara hidup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub disifatkan sebagai seorang wakil rakyat yang bukan sahaja mudah didekati, malah cakna de­ngan masalah rakyat.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Skuad Wanita Melana Indah, Zarith Sofieah M. Yusof berkata, sikap Ahli Parlimen Pulai itu menjadikan mudah bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyuarakan isu atau permasalahan penduduk.

Katanya, Allahyarham juga cepat bertindak dalam menyelesaikan isu sehingga menjadikan Salahuddin figura yang disena­ngi penduduk di kawasan Parlimen Pulai, khususnya penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah, di sini.

TINDAKAN

“Setiap kali aduan dipanjangkan ke pejabatnya, pasti kami akan dapat maklum balas dan tindakan segera. Boleh dikatakan, penerima bantuan bakul makanan di sini tidak pernah putus bekalan, dia tak sanggup tengok rakyat susah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang penduduk, Kalsom Sulaiman, 68, menyifatkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu juga sebagai seorang yang me­rendah diri dan tidak kekok bergaul dengan penduduk setempat sama ada dalam program kementerian atau perjumpaan biasa.

“Penduduk juga senang de­ngan beliau kerana bertimbang rasa, merendah diri dan berbudi bahasa yang tinggi. Itu menjadi sebab dia amat disegani,” kata ibu kepada 11 orang anak itu.

RAJIN

Seorang suri rumah, Hafizah Paiman, 32, berharap, pe­mimpin yang akan menggantikan Allahyarham sebagai wakil rakyat di kawasan itu nanti rajin membantu mereka seperti Allahyarham sekiranya ada masalah yang berlaku.

“Boleh kata tiap-tiap minggu Allahyarham datang sini untuk mendengar aduan di PPR ini seperti masalah parkir, lif dan lampu. Semua ini sudah diberikan peruntukan dan dalam proses pembaikan,” katanya.

Nurul Hasmidah Che Ka­marudin, 35, juga berharap pengganti Salahuddin di kementerian nanti akan meneruskan perjuangan Allahyarham dalam menurunkan harga barangan keperluan.

Suri rumah dan ibu kepada dua anak itu mahu konsep rahmah yang diperkenalkannya tetap dilaksanakan walaupun Allahyarham sudah tiada.

Rakan sekolah Salahuddin, Hassan Kasmuri, 62, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang pendiam dan sentiasa merendah diri.

“Tentunya kami berasa sedih dan satu kehilangan yang besar rakan sekolah dan pelajar yang telah berjaya sehingga menjadi seorang menteri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pejabat Perhubungan Arab dan Islam Hamas, Dr. Khalil al-Hayya berkata, sokongan Allahyarham yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan usaha­nya memperjuang hak kebebasan Palestin sangat terpuji dan wajar dicontohi.

“Empati dan keprihatinan beliau terhadap rakyat Palestin meninggalkan kesan yang berkekalan di hati kami. Advokasi beliau untuk hak golo­ngan yang tertindas dan ter­pinggir adalah bukti watak dan dedikasi beliau sebagai seorang pemimpin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN