SETELAH menerima takdir kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan kerusi Parlimen Kepala Batas bukan lagi miliknya, DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN melihat keputusan bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam sebagai kebangkitan semula. Ini kerana, Bertam di dalam Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang, begitu dekat dengan dirinya. Kata beliau, keputusan PRU15 memihak Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dijadikan ukuran dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana situasinya berbeza. Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN, beliau percaya pengalaman sebagai bekas menteri dan Ahli Parlimen mampu menarik undi kepadanya.
Datuk Seri akan bertanding di peringkat negeri selepas kalah PRU15, apa yang boleh dikongsi?
Saya bersyukur diberi kepercayaan oleh parti, mungkin kerana pertimbangan dibuat berdasarkan saya masih lagi di dalam kawasan Parlimen Kepala Batas dan kerap turun padang.
Ketiadaan saya sebagai Ahli Parlimen, namun masih lagi dicari-cari rakyat. Saya tidak boleh meninggalkan kawasan Kepala Batas, kerana saya sudah berkhidmat selama 10 tahun. Tempat saya di sini, malah ibu bapa juga dikebumi di sini. Sebab itu saya tidak boleh tinggalkan kawasan ini.
Memang benar saya tewas dalam PRU15, dan kalau saya menang di Bertam, ini menjadi isyarat bahawa rakyat masih mahu melihat perjalanan saya bersama mereka. Saya menganggap Bertam menjadi permulaan kebangkitan semula.
Suka saya beritahu, Barisan Nasional (BN) dan UMNO di Kepala Batas khususnya di DUN Bertam memang kuat dan berakar.
Datuk Seri terkesan dengan keputusan pilihan raya lalu?
Benar, kami daripada BN memang terkesan dengan gelombang dibawa pembangkang lapan bulan lalu. Tetapi, kami belajar daripada apa yang berlaku supaya tidak lagi terpukul dan akhirnya tidak membawa keuntungan kepada parti dan rakyat.
Mengapa rakyat wajar memilih Datuk Seri?
Saya tidak mahu mendabik dada keterlaluan, tetapi tidak juga terlalu optimistik. Namun, apa yang saya lihat tanda-tandanya amat positif.
Saya percaya setelah rakyat mengenali saya dengan pengalaman menjadi menteri sebanyak dua kali, 10 tahun berkhidmat untuk rakyat di Parlimen, dan berada dalam pimpinan tertinggi parti, maka, rakyat boleh menilai bagaimana saya bekerja.
Jadi, dalam hal ini, tidak menjadi suatu kesulitan untuk saya memberi ‘persembahan terbaik’ bagi meyakinkan rakyat bahawa saya mampu terus berjuang dan mewakili suara mereka.
Menuju pilihan raya nanti, apa perkembangannya sekarang?
Saya tidak tahu sebab soal undi ini berada di hati pengundi masing-masing. Namun, saya tahu pengundi Bertam akan memberi kepercayaan kepada saya walaupun telah kalah di peringkat Parlimen.
Lagipun, di Parlimen itu ada lebih tiga DUN yang mempengaruhi keputusan undian, tetapi di peringkat ini, siapa yang boleh menjangka?
Apa Datuk Seri mahu beri untuk rakyat di DUN Bertam?
Saya mendambakan kestabilan dalam kawasan saya tandingi supaya kekal aman dan damai. Tentunya, saya mahu Bertam sentiasa terlibat dalam aktiviti penjanaan pendapatan.
Selain itu, saya juga mahu pastikan berlaku pergerakan status sosial (social mobility). Maknanya, kalau seorang ayah bekerja sebagai nelayan, pesawah atau penoreh (dalam konteks Kepala Batas), saya mahu anaknya tidak lagi meneruskan status sosial itu.
Perlu saya tegaskan, ini tidak bermakna saya merendahkan status sosial masyarakat. Tetapi, saya mahu adanya perkembangan dalam kalangan masyarakat, sekaligus membantu generasi hari ini supaya kehidupan mereka menjadi lebih baik dan sempurna seiring dengan perkembangan semasa.