PRN: Polis Negeri Sembilan kenal pasti enam lokasi hotspot - Utusan Malaysia

PRN: Polis Negeri Sembilan kenal pasti enam lokasi hotspot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak enam lokasi panas atau hotspot telah dikenal pasti polis kontinjen Negeri Sembilan sepanjang tempoh berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof sehubungan itu berkata, sebagai langkah persediaan, seramai 4,400 orang pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di seluruh negeri ini bagi memastikan proses pilihan raya itu berjalan lancar.

“Pihak polis kontinjen Negeri Sembilan telah bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk menghadapi PRN kali ini dengan jumlah kekuatan seramai 4,400 orang pegawai dan anggota. 

“Sebanyak enam kawasan hotspot telah dikenal pasti bagi kontinjen Negeri Sembilan. Selain itu kami juga akan menerima bantuan sumber manusia lebih kurang 1,000 orang daripada Bukit Aman mengikut fasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu menyeru dan menasihatkan mana-mana pihak termasuk parti politik supaya menghormati Akta Perhimpunan Aman 2012 termasuk sebelum tibanya tempoh berkempen ketika ini.

“Sekarang bukan tempoh kempen tetapi kami faham banyak program-program politik telah bermula jadi saya menyeru mana-mana pihak atau parti plitik yang ingin menganjurkan apa jaga program untuk menghormati Akta Perhimpunan Aman 2012 yang mempunyai syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh penganjur.

“Saya menyeru parti politik untuk hormat akta ini dan memaklumkan kepada pihak-pihak berwajib atau pihak berkuasa sebelum menganjurkan apa juga program,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak 190 kawasan hotspot yang telah dikenal pasti di enam buah negeri yang menjalani PRN tidak lama lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh mengundi bagi PRN di enam buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu adalah pada 12 Ogos dengan tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN