KOTA BHARU : Pas Kelantan mengesahkan empat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Setiausaha Perhubungan Pas negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, setakat ini sudah ada dalam kalangan penyandang kerusi itu menghantar surat Persuruhjaya memaklumkan perkara tersebut.
Menurutnya, keputusan itu dibuat sendiri oleh penyandang dan Pas Kelantan menghormati perkara tersebut.
“Untuk PRN kali ini Pas akan menampilkan 50 peratus muka baharu yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang di Kelantan. Bagi calon wanita, kita akan mengekalkan dengan jumlah yang sedia ada atau mungkin lebih.
“Pemilihan kriteria calon PN bagi PRN kali ini melibatkan golongan profesional serta tokoh ulama selain penampilan muka baharu dan anak muda sejajar dengan slogan ‘Pas untuk semua’. Calon yang dipilih ini adalah hasil kajian awal pilihan raya yang telah dikemukan di peringkat akar umbi dan telah memenuhi hasrat pengundi di kawasan tersebut,” katanya pada Sidang Akhbar Khas PRN di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Kelantan di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain Wan Roslan memberitahu, pengumumkan senarai calon Pas untuk PRN akan dilakukan pada 27 Julai ini.
Katanya, bagaimanapun masa dan lokasi masih belum diputuskan lagi.
“Enam kerusi Bersatu berkenaan membabitkan kerusi di Kok Lanas, Gual Ipoh (Parlimen Tanah Merah), Paloh dan Nenggiri (Parlimen Gua Musang) serta Ayer Lanas (Parlimen Jeli). Manakala satu lagi kerusi belum ditentukan sama ada Kuala Balah atau Bukit Bunga yang juga di Parlimen Jeli.
“Pas Kelantan akan dilancarkan pada 31 Julai ini dengan tema yang dipilih untuk PRN kali ini adalah sama seperti Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu iaitu ‘Kelantan Maju Rakyat Sejahtera’,” ujarnya.-UTUSAN










