PRN: Mohamad Rafie mahu calon DUN Ampangan dinilai semula - Utusan Malaysia

PRN: Mohamad Rafie mahu calon DUN Ampangan dinilai semula

MOHAMAD RAFIE AB MALEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat menilai semula pencalonan bagi mewakili parti itu dan Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Penyandang kerusi berkenaan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, beliau mengakui tersentak apabila tidak dicalonkan semula untuk PRN kelak bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Kata beliau, kakikatnya umum mengetahui bahawa dirinya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat di Ampangan termasuk menerusi projek-projek pembangunan yang telah dijalankan.

Jelasnya, malahan dapatan kaji selidik di Ampangan juga menunjukkan majoriti penduduk masih mahu beliau meneruskan perkhidmatan di kawasan itu.

“Saya sedang berusaha untuk memaklumkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menilai semula pencalonan di Ampangan.

“Datuk Seri Anwar perlu membuat perubahan ini kerana kaji selidik di kawasan Ampangan menunjukkan secara majoriti mahukan saya meneruskan perkhidmatan di Ampangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Anwar yang juga Pengerusi PH mengumumkan Ketua Wanita Keadilan Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman sebagai calon mewakili PKR yang akan bertanding di kerusi Ampangan atas tiket PH.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Mohamad Rafie menang di kerusi DUN Ampangan dengan majoriti 1,360 undi menewaskan dua orang pencabar lain.

Sementara itu, Mohamad Rafie yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri mendakwa, penolakan dirinya untuk dicalonkan semula adalah kerana terdapat individu tertentu yang merasakan diri tergugat jika beliau masih berada di dalam kerajaan Negeri Sembilan.

“Pencapaian cemerlang serta nilai keperibadian dengan integriti yang baik yang ada pada saya menjadi ancaman kepada individu tersebut.

“Maka individu ini dan rakan-rakannya di peringkat pusat telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan saya dikeluarkan daripada kepemimpinan kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN