PRN Kedah, 20 lokasi panas dipantau - Utusan Malaysia

PRN Kedah, 20 lokasi panas dipantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah meningkatkan pemantauan di 20 lokasi panas daripada 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

 Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, tumpuan di kawasan tersebut termasuk menambah petugas polis bagi memastikan pilihan raya itu berjalan lancar sehingga hari pengundian.

“Kawasan panas ini bukan bermaksud kawasan ini akan berlaku pertempuran atau sebagainya, jangan salah tafsir. Kita kategorikan kawasan itu untuk memudahkan penugasan termasuk sama ada meningkatkan jumlah petugas,” katanya kepada pemberita selepas hadir program Ibadah Korban Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Perumahan Polis Derga Jaya, hari ini.

Pada program tersebut, IPK Kedah menyumbangkan enam lembu korban yang kemudian diagihkan kepada golongan asnaf, ibu tunggal dan anak yatim di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, kata Fisol, polis negeri itu juga akan menambah bilangan petugas sepanjang PRN  dengan bantuan dari kontinjen negeri lain.

“Keseluruhan keperluan kita adalah lebih 1,900 petugas polis yang kita mohon dari Bukit Aman dan mereka akan tentukan dari kontinjen mana yang akan datang bantu kita. Semua ini mengikut kategori seperti peringkat penamaan calon, tempoh berkempen dan hari pengundian,” jelasnya.

Beliau pada masa sama mengingatkan semua pihak termasuk parti politik agar mematuhi semua peraturan ditetapkan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kesalahan yang kerap dilakukan sepanjang musim pilihan raya adalah ceramah tanpa permit, khianat, merusuh, mengaibkan kehormatan, mengedar risalah berunsur hasutan.

“Polis Kedah amat komited dalam menjalankan penugasan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang PRN,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya