PRN: Aminuddin minta semua pihak akur keputusan pemilihan calon - Utusan Malaysia

PRN: Aminuddin minta semua pihak akur keputusan pemilihan calon

AMINUDDIN Harun bersalaman dengan hadirin pada Majlis Penyampaian Komputer Riba Mahasiswa Anak-Anak Negeri Sembilan Tahun 2023 di Dewan Dato' Bahaman, Kuala Pilah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meminta semua ahli parti itu supaya akur dan menghormati keputusan berkenaan calon yang mewakili parti itu di enam buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu menambah, beliau maklum terdapat rasa tidak puas hati beberapa pihak berkenaan keputusan yang diumumkan pada 22 Julai lalu itu namun mengingatkan bahawa perkara tersebut sememangnya di bawah bidang kuasa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya menasihatkan semua supaya kembali kepada tumpuan untuk memenangi PRN kali ini. Kalau mahu diikutkan memang ada yang tidak berpuas hati, itu biasalah, dalam mana-mana parti akan berlaku,” katanya.

Aminuddin yang juga Menteri Besar dan Naib Presiden PKR berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Komputer Riba Mahasiswa Anak-Anak Negeri Sembilan Tahun 2023 di Dewan Dato’ Bahaman di sini hari ini.

Anwar pada 22 Julai lalu mengumumkan senarai calon yang akan mewakili parti itu bagi bertanding di 60 buah kerusi DUN pada PRN di enam buah negeri kelak atas tiket PH.

Ia termasuk calon di enam buah kerusi DUN di Negeri Sembilan iaitu Sikamat, Ampangan, Labu, Pilah, Chuah dan Sri Tanjung.

Suasana Majlis Pengenalan Calon PH Negeri Sembilan yang berlangsung di Sikamat, Seremban pada 23 Julai lalu sedikit ‘panas’ apabila terdapat beberapa penyokong PKR menjerit dan melaungkan perkataan ‘tukar Ampangan’.

Ia dipercayai selepas mereka tidak berpuas hati dengan pemilihan Ketua Wanita Keadilan Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman sebagai calon di DUN Ampangan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, kerusi DUN Ampangan dimenangi oleh Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek dengan majoriti 1,360 undi dengan menewaskan dua orang pencabar lain.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri bagaimanapun tidak dicalonkan semula kali ini.

Mohamad Rafie dalam kenyataannya hari ini mengakui terkejut dengan keputusan tersebut dan memberitahu sedang berusaha untuk memaklumkan kepada Anwar untuk menilai semula pencalonan di DUN berkenaan.

Beliau malahan mendakwa penolakan dirinya untuk dicalonkan semula adalah kerana terdapat individu tertentu yang merasakan diri tergugat jika beliau masih berada di dalam kerajaan Negeri Sembilan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN