Polis panggil pihak berkaitan insiden KLIA

Polis panggil pihak berkaitan insiden KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis sedang menjalankan siasatan mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP) berkaitan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan seorang menteri, Khamis lalu. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya kemungkinan akan meneliti dokumen dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan insiden tersebut. 

Katanya, pihak polis juga akan mengenal pasti individu-individu berkaitan bagi menentukan sama ada wujud elemen jenayah dalam kejadian itu. 

“Siasatan buat masa ini di bawah KEP. Kita akan mengambil keterangan mereka yang dikenal pasti. Di bawah KEP, kita ada kuasa untuk rakam percakapan dan menyemak apa-apa dokumen atau rakaman CCTV berkaitan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Menurut Hussein, pihaknya akan membuka siasatan di bawah mana-mana seksyen jika wujud sebarang elemen jenayah. 

“Buat masa ini, kita menerima satu laporan polis dibuat orang awam berkaitan insiden ini,” katanya. 

Terdahulu, media melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mengakui gambar tular dalam media sosial berhubung isu itu adalah dirinya.

Ini selepas  beliau mendakwa ada menerima aduan daripada pelancong sebelum ke KLIA bagi memahami situasi pelancong asing itu, selain ia pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.

Beliau turut menyifatkan tindakan beliau ke KLIA bagi membongkar ‘peristiwa’ memalukan.

Beliau mendakwa wujud budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

“Saya bersyukur kerana kehadiran saya sudah membongkar peristiwa memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara,” katanya dipetik.

Susulan itu, Imigresen sedang menjalankan siasatan berkaitan dakwaan terbabit. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN