Polis cari petunjuk baharu kes bom pada kereta Siti Kasim

Polis cari petunjuk baharu kes bom pada kereta Siti Kasim

SITI KASIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis masih mencari petunjuk baharu berhubung penemuan objek yang merupakan bom jenis Improvised Explosive Device (IED) diletakkan pada kereta aktivis, Siti Kasim, 21 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, setakat ini, 13 individu diambil keterangan terdiri daripada mangsa, rakan-rakan, mekanik, dan pengawal keselamatan kediaman mangsa.

“Sesiapa sahaja kami rasakan saksi yang ada melalui kenderaannya, kita panggil beri keterangan. Kesemua mereka dalam lingkungan umur antara 26 hingga 60 tahun.

“Kita meneliti kesemua televisyen litar tertutup (CCTV) yang melibatkan perjalanan aktivis (Siti Kasim) ini dan masih mencari petunjuk,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati bahan letupan tersebut sempurna dan lengkap untuk berlakunya letupan.

“Antara bahan ditemukan dipercayai untuk menghasilkan bahan letupan itu adalah kain, diesel, wayar, bateri dan mercun.

“Ketika ditemukan, ia dalam keadaan ‘switch off’ (tertutup) dan untuk menghidupkannya perlu ditekan suis itu secara fizikal. 

“Saya yakin, suspek ini mempunyai ilmu dalam pembuatan bahan letupan dan diharap spekulasi perkara ini akan berhenti setakat ini,” katanya.

21 Julai lalu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor mengesahkan dua objek ditemukan di bahagian bawah kereta Siti Kasim atau nama sebenar Siti Zabedah Kasim adalah bom jenis IED.

Beliau dilaporkan berkata, ia berdasarkan siasatan dilakukan pihak Unit Pemusnah Bom (UPB) dan kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta letupan 1957.

Dalam pada itu, Siti Kasim berkata, dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya ke pusat servis kenderaan pada pukul 12 tengah hari.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN