Pertikai konsert artis barat, jemputlah penyanyi Islamik - Utusan Malaysia

Pertikai konsert artis barat, jemputlah penyanyi Islamik

AC Mizal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Melihat senario kedatangan artis barat se­ring menimbulkan polemik, sele­briti, Datuk AC Mizal, 52, berpendapat sudah masanya konsert bercorak Islamik diketengahkan sebagai hiburan alternatif di Malaysia.

AC atau nama sebenarnya Mizal Datuk Zaini berkata, penganjuran konsert artis terkenal dunia akan memacu ekonomi sesebuah negara seperti yang berlaku di Singapura.

Oleh itu, Malaysia perlu bijak meraih peluang menawarkan hiburan berunsur Islamik dengan barisan artis dan pelawak yang boleh membawa persembahan berunsur keagamaan.

“Saya berpendapat, kita perlu ada kesimbangan dari segi hiburan. Kita larang orang ke konsert (artis barat) tapi tidak berusaha memanggil penyanyi Islamik dari Arab contohnya untuk persembahan di Malaysia.

“Kita ada ramai artis dengan persembahan Islamik sebagai contoh Maher Zain dan beberapa pelawak antarabangsa. Penganjur perlu berani menampilkan artis begini kerana khalayak mereka besar di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia, ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya lagi, masyarakat perlu sedikit terbuka menerima kedatangan artis luar asalkan mereka sedia mematuhi syarat.

“Sebenarnya artis luar hanya perlu diberitahu apakah syarat dikenakan. Mereka akan patuh kerana mereka tahu peminat di negara tertentu seperti Dubai bahkan Arab sekalipun mahu tengok persembahan mereka.

“Bagi saya, kita perlu beri mereka peluang (adakan konsert) asalkan ia berada dalam garisan yang betul dan tidak me­langgar sensitiviti masyarakat.

“Pernah juga artis luar berpakaian lebih tertutup daripada artis kita,” tambahnya.
Untuk rekod, penyanyi ter­kenal dari Amerika Syarikat, Taylor Swift bakal mengadakan konsert enam hari di Singapura Mac tahun depan sempena konsert jelajah dunia The Eras Tour.

Kedatangan penyanyi berusia 33 tahun itu bakal melonjakkan sektor ekonomi, perhotelan, penerbangan, makanan dan infrastruktur awam negara itu, sekali gus menyaksikan Malaysia terlepas peluang tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN