Perkukuh STEM dalam sistem pendidikan - Ismail Sabri - Utusan Malaysia

Perkukuh STEM dalam sistem pendidikan – Ismail Sabri

ISMAIL SABRI Yaakob (tengah) bersama pelajar yang menyertai program Golden Mathematics Challenge 2023 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ATM Bera di Bera, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan sektor pendidikan negara masih berhadapan dengan cabaran untuk menarik minat para pelajar menguasai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Beliau berkata, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 jelas menunjukkan subjek Matematik merekodkan peratusan kegagalan pelajar paling tinggi apabila 54 peratus daripada keseluruhan pelajar memperoleh gred D, E dan G.

“Penekanan perlu diberikan untuk memperkukuhkan STEM dalam sistem pendidikan kita bagi menarik lebih ramai pelajar,” katanya selepas merasmikan pertandingan Golden Mathematics Challenge 2023 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ATM Bera di sini hari ini.

Program yang bermula pada 28 Julai lalu sehingga hari ini telah diterajui oleh Muafakat MATRA dan pihak BASF Petronas Chemicals.

Program julung kali diadakan di Bera ini bukan sahaja berjaya menarik penglibatan semua sekolah menengah di daerah ini malah enam negeri iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kedah, Johor, Perlis dan Negeri Sembilan turut menghantar wakil menyertai pertandingan ini.

Ismail Sabri menyokong penuh penganjuran Golden Mathematics Challenge ini kerana ia dapat memupuk minat para pelajar untuk mendalami pendidikan STEM.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan tujuan lerajaan mewujudkan MRSM adalah bagi membantu pelajar luar bandar mengembangkan bakat serta melahirkan pelajar bumiputera yang berpotensi tinggi dalam bidang sains, kejuruteraan dan matematik.

“Sewaktu saya di Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, saya telah mengubah dasar kemasukan pelajar bagi membolehkan lebih ramai anak-anak orang miskin tegar dan luar bandar dapat belajar di MRSM,” kata Ahli Parlimen Bera itu.

Sementara itu, katanya, sektor Pendidikan di Bera melalui perubahan yang ketara dan tidak lagi berada di kedudukan tercorot di negeri ini.

“Di Pahang, kita ada 14 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan bagi Bera, terdapat peningkatan untuk SPM daripada segi yang lulus tapi kita masih di kedudukan yang kesembilan dalam Pahang. Namun, untuk STPM, Bera menduduki kedudukan kedua.

“Sebagai contoh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bera sentiasa berada di kedudukan ‘Top 10’ di negeri ini dalam peperiksaan SPM pada setiap tahun. Jumlah pelajar yang mendapat semua A di daerah ini pada tahun 2022 juga meningkat kepada 22 orang berbanding 12 orang pada 2021,” katanya.

Menurutnya, ia merupakan usaha berterusan semua pihak, dan pengurusan program yang berkesan menyebabkan berlaku peningkatan daripada segi Gred Purata Daerah, jumlah pelajar layak terima sijil dan calon memperoleh semua A.

“Mereka yang berjaya dalam hidup adalah mereka yang cemerlang dalam pendidikan. Ramai anak daripada keluarga miskin telah berjaya dan kejayaan tersebut bukan untuk diri sendiri sahaja tapi untuk mengubah hidup keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya