Penunggang maut, ibu cedera - Utusan Malaysia

Penunggang maut, ibu cedera

SEORANG penunggang maut, manakala ibunya cedera dalam kemalangan di KM65, Jalan Johor Bahru-Batu Pahat di persimpangan Kayu Ara Pasong, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN:  Seorang penunggang motosikal  terbunuh, manakala ibunya cedera dilanggar sebuah kereta yang membelok ke sebuah stesen minyak di Kilometer 65, Jalan Johor Bahru-Batu Pahat di persimpangan Kayu Ara Pasong, dekat sini petang ini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa, Zeffri Kamarudin, 53, maut di lokasi kejadian, manakala ibunya, Habsah Adnan, 73, yang membonceng motosikal tersebut cedera dalam kejadian pukul 4.10 petang itu.

Siasatan awal mendapati ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Ego LC yang ditunggangi dua beranak dari arah Benut ke Pontian  dilanggar oleh sebuah kereta yang ingin membelok ke kanan untuk mengisi minyak.

Menurutnya, motosikal tersebut dilanggar pada bahagian hadapan menyebabkan Zeffri mengalami kecederaan pada leher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“ibunya mengalami kecederaan luka-luka pada bahagian tangan dan kaki telah dihantar ke Hospital Pontian bagi rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohammad Shofee berkata, pemandu kereta Proton Satria yang berusia  52 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Punca kejadian dipercayai disebabkan oleh kereta Proton Satria yang dipandu seorang lelaki dari arah Pontian ke Benut  telah memasuki laluan motosikal lalu melanggar motosikal di hadapannya.

Pemandu kereta tersebut telah ditahan untuk diambil keterangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN