PORT DICKSON: Peningkatan kemasukan pelancong luar ke negara ini dilihat dapat mengukuhkan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) yang kini agak rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (USD).
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peningkatan itu termasuk untuk menarik kehadiran 200 juta pelancong dari negara China yang ketika ini sedang merangka negara manakah yang ingin dilawati mereka
“Sekarang ini, permintaan terhadap nilai ringgit rendah jadi, nilai ringgit dibanding USD perlu diperbaiki. Kita berharap mereka (pelancong luar) memilih Malaysia sebagai salah satu destinasi popular selain negara Thailand, Singapura dan Indonesia.
“Kita inginkan pelancong yang ramai kerana ia memberi pendapatan kepada negara termasuklah rakyat yang terlibat dalam sektor pelancongan, hotel, makanan dan minuman serta segala yang berkaitan dengannya.
“Pada masa sama, permintaan terhadap ringgit akan menjadi lebih tinggi apabila pelancong ramai datang dan ia memperbaiki prestasi ringgit dibanding dengan USD,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Jeti Penumpang Port Dickson di sini hari ini.
Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan ke Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Port Dickson dan Jeti Marin, Lukut.
Ahmad dalam pada itu menggesa pihak JKDM agar meningkatkan kecekapan terutama menyegerakan proses membantu menyaring barangan penumpang yang tiba di jeti atau lapangan terbang bagi merancakkan lagi sektor ekonomi pelancong di negara ini.
“Daripada segi kecekapan agensi kita, mereka perlu segera menyelesaikan barisan yang panjang di muka hadapan (pintu masuk), saya kira boleh diperbaiki,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Bahagian Penguatkuasaan Kastam Negeri Sembilan telah merekodkan kutipan rampasan bernilai lebih RM800,000 bagi tempoh enam bulan ini.
“Kutipan cukai yang sepatutnya dikutip adalah RM1.04 juta yang melibatkan barangan seperti rokok, minuman keras dan kenderaan,” katanya.-UTUSAN.










