PETALING JAYA: Pengumuman kerajaan untuk menyemak gaji penjawat awam dikhuatiri mendorong kepada kumpulan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penasihat utama di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Oh Ei Sun berkata, kumpulan yang mengambil kesempatan atau oportunis itu perlu dipantau sepanjang masa.
“(Kenaikan gaji penjawat awam) akan mendorong (peningkatan harga barang) jika gaji lebihan dibazirkan dengan membeli dan bukan penyimpanan atau pelaburan.
“Pada masa sama, kenaikan gaji sektor awam harap dapat mengurangkan keperluan untuk menerima suapan dan seterusnya membasmi rasuah.
“Tetapi kenaikan gaji juga mesti diiringi oleh sebuah sistem penilaian prestasi yang komprehensif, supaya penerimaan gaji yang lebih tinggi adalah selari dengan pencapaian yang memuaskan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut beliau, pendidikan kewangan dalam kalangan penjawat awam juga perlu diperkukuhkan agar mereka mempunyai pengetahuan dalam menguruskan pendapatan mereka.
“Supaya mereka yang mendapat gaji yang lebih tinggi bukan sahaja membazirkannya dengan barang-barang yang tidak diperlukan, tetapi disimpan atau dilabur untuk mendapat keuntungan yang lebih tinggi,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan, mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu ini akan menyemak semula skim gaji perkhidmatan awam selepas tiada kenaikan diberikan bagi suatu tempoh agak lama. Oleh itu, kerajaan akan menubuhkan pasukan mengkaji dan memberikan cadangan bagi meningkatkan skim gaji penjawat awam. – UTUSAN











