Pendakwaan tunggu arahan AG berhubung status representasi Zahid - Utusan Malaysia

Pendakwaan tunggu arahan AG berhubung status representasi Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan masih menunggu arahan Peguam Negara (AG) berhubung status representasi Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menggugurkan rayuan pendakwa raya terhadap pembebasannya daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Seorang peguam yang mewakili Ahmad Zahid, Aiman Abdul Rahman berkata, pihak pendakwaan memerlukan lebih masa untuk mempertimbang representasi berkenaan.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan menetapkan satu lagi pengurusan kes pada 18 September ini bagi membolehkan kedua-dua pihak memaklumkan status representasi yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri.

Aiman memaklumkan demikian ketika dihubungi wakil media selepas sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Prosiding itu turut dihadiri seorang lagi peguam, Hamidi Mohd. Noh manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Zander Lim Wai Keong.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes berhubung perkembangan representasi yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid untuk menggugurkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung VLN.

Ahmad Zahid mengemukakan representasi pada Januari lalu memohon AGC menarik balik rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 26 September 2022 terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 September 2022 yang membebaskan Timbalan Perdana Menteri daripada semua pertuduhan.

PENDAKWAAN

Dalam petisyen rayuan difailkan pada 29 Disember 2022, pihak pendakwaan mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi mengenai persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes tersebut.

Presiden UMNO itu didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu.

Rasuah tersebut didakwa bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontrak dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN