Pemuda Amanah Negeri Sembilan tuntut kerusi DUN Kota - Utusan Malaysia

Pemuda Amanah Negeri Sembilan tuntut kerusi DUN Kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan mahu meletakkan calon mereka bagi bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Ia bagi memastikan parti itu kekal bertanding di tiga buah kerusi DUN di Negeri Sembilan.

Naib Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Ahmad Shukri Kamaruddin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai pengumuman calon kerusi DUN Lenggeng oleh Barisan Nasional (BN) bagi mendepani PRN kali ini.

Bagaimanapun, jelasnya, ia merupakan suatu perkara yang pahit untuk diterima oleh ahli Amanah khususnya di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, beliau berkata, atas desakan ahli, Pemuda Amanah Negeri Sembilan akan menghantar calon bagi bertanding di kerusi DUN Kota di Parlimen Rembau.

“Ia bagi menggantikan kerusi DUN Lenggeng yang ingin ditandingi oleh UMNO dan BN. Rasionalnya adalah bagi memastikan Amanah ini terus kekal relevan khususnya di Negeri Sembilan.

“Pemuda Amanah Negeri Sembilan menegaskan bahawa parti ini bukanlah sebuah parti yang mudah diperkotak-katikkan oleh lawan mahupun kawan. Perbincangan akhir bersama pimpinan di peringkat nasional bakal dimuktamadkan berkait hasrat Pemuda Amanah Negeri Sembilan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BN semalam di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, mengumumkan senarai 108 calon parti itu untuk bertanding di kerusi-kerusi DUN di enam buah negeri yang akan melaksanakan PRN pada bulan hadapan.

Ia termasuk 17 orang calon yang akan bertanding mewakili parti itu di Negeri Sembilan termasuk DUN Kota dan juga DUN Lenggeng yang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dimenangi calon dari Amanah yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Dua lagi kerusi dimenangi parti itu adalah DUN Paroi dan juga Klawang.

Sementara itu, Ahmad Shukri berkata, rekod baik Pemuda Amanah Negeri Sembilan ketika menggalas tanggungjawab sebagai Penyelaras DUN Kota menjadi taruhan terbaik dalam misi merebut kawasan DUN berkenaan.

“Persetujuan awal di peringkat PH adalah bagi memastikan Amanah bertanding untuk tiga kerusi DUN dalam PRN Negeri Sembilan. Sama ada UMNO/BN mahu menarik diri di DUN Lenggeng bagi memberi laluan kepada Amanah ataupun di kerusi DUN Kota, itu terpulang kepada mereka. 

“Pemuda Amanah akan tetap dengan pendirian ini untuk mempertahankan sekurang-kurangnya tiga kerusi Amanah perlu bertanding di Negeri Sembilan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan kali ini,” katanya lagi.

Beliau menambah, usaha berkenaan tidak akan menjejaskan dan memecahkan perpaduan Kerajaan Perpaduan, sebaliknya akan menambah peluang besar untuk memenangi kerusi DUN Kota pada PRN kelak.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN