Pemilik Crackhouse didenda RM8,000

Pemilik Crackhouse didenda RM8,000

Rizal Van Geyzel
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas menukar pengakuan tidak bersalah kepada bersalah bagi pertuduhan memuat naik video menyentuh isu sensitiviti perkauman.

Rizal, 40, atau nama penuh­nya, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel menukar pengakuannya pada sebutan kes itu semalam selepas pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi ketiga lelaki itu.

“Hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi keputusan representasi (ketiga) dan pihak pendakwaan bersetuju untuk menerima representasi agar orang kena saman (OKS) mengaku salah untuk pertuduhan pertama,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Nurul’Ain Abu Bakar

Bagi dua lagi pertuduhan, Nurul’Ain berkata, pertuduhan-pertuduhan itu dianggap sebagai take into consideration (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 22 Julai 2022, Rizal didakwa atas tiga pertuduhan membabitkan penghantaran komunikasi jelik di laman media sosial iaitu Facebook, Instagram dan aplikasi TikTok miliknya menggunakan nama profil masing-masing ‘Rizal van Geyzel’, dan rizalvangeysel pada 4, 5 dan 6 Julai tahun sama.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketika mengemukakan ra­yuan, Rizal melalui peguam belanya, M. Pravin memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda yang minimum atas alasan OKS menanggung tiga anak termasuk seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai masalah dalam pembelajaran.

“OKS mempunyai seorang bapa berusia 74 tahun dan menghidap penyakit jantung kronik serta perlu menanggung kos rawatan bapanya. Selepas kejadian ini, OKS hilang sumber pendapatan utamanya sebagai stand up comedy kerana banyak penganjur membatalkan penglibatan OKS dalam program mereka.

“OKS kini bercerai dengan isterinya dan menjaga tiga anak mereka antara tiga tahun dan 11 tahun. Dia menyesal dan bertaubat dengan kesalahan yang dilakukannya selain tiada niat menyakitkan hati orang lain,” kata peguam itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN